MotoGP™ 2025 kini menuju ke Pusingan 4 dengan sorotan terarah ke Litar Antarabangsa Lusail, Qatar yang juga merupakan satu lokasi terkenal dengan perlumbaan-perlumbaan penuh dramatik dan pertarungan sengit hingga ke garisan penamat. Sebagai satu-satunya perlumbaan malam dalam kalendar, Lusail sering menjadi saksi detik ikonik dan tidak dijangka.
Berikut lima perlumbaan paling klasik pernah terjadi di padang pasir Qatar berdasarkan laporan rasmi MotoGP :
2005: Valentino Rossi vs Marco Melandri – Pecutan saat akhir
Musim 2005 menyaksikan Valentino Rossi mendominasi saingan, namun Marco Melandri cuba memberikan cabaran hebat dalam perlumbaan penuh aksi ini. Di pusingan terakhir, Melandri cuba mencuri kejuaraan dengan potongan berani di selekoh 12, namun tersasar dengan jurang kedudukan jauh sekaligus memberi peluang kepada Rossi untuk mengekalkan kedudukan teratas. Kemenangan itu membawa Rossi selangkah lebih dekat ke gelaran ke-7 dalam kariernya.
2013: Debut Marquez, kepulangan Rossi
Perlumbaan pembukaan musim 2013 menjadi detik bersejarah apabila Marc Marquez membuat penampilan sulungnya dalam kelas premier, manakala Valentino Rossi kembali ke pasukan Yamaha. Selepas kesilapan awal, Rossi bangkit semula untuk berentap sengit dengan Marquez untuk petak 2. Meskipun saingan sengit dapat disaksikan, perlumbaan tersebut membuktikan pengalaman mengatasi keberanian apabila Rossi berjaya menyekat kemaraan Marquez dengan menghabiskan perlumbaan lebih awal.
2014: Marquez vs Rossi – Pertarungan Dua Generasi
Pertembungan dua era MotoGP kembali mewarnai Qatar apabila Marquez dan Rossi bertarung hingga ke saat terakhir. Mereka saling bertukar kedudukan di atas litar sebanyak empat kali dalam dua pusingan terakhir. Rossi cuba memberikan serangan terakhir di selekoh 10 tetapi Marquez bertahan dan enggan menyerah kalah untuk mencipta kemenangan pertama musim itu sekaligus menjadikan kejayaan itu sebagai permulaan kepada 10 kemenangan berturut-turutnya.
2018: Marquez vs Dovi – Episod Pertama Pertarungan Ikonik
Satu lagi pembukaan musim yang epik, kali ini antara Marquez dan Andrea Dovizioso. Dalam gaya yang sudah menjadi ‘trademark’, pertarungan hingga ke selekoh terakhir menyaksikan Marquez cuba memotong di dalam, namun seperti biasa, melebar dan Dovi tenang memintas semula untuk merangkul kemenangan.
2019: Dovi vs Marquez – Ulangan yang Lebih Panas
Setahun kemudian, skrip hampir sama diulang. Marquez sekali lagi cuba membuat potongan saat akhir di selekoh terakhir, dan sekali lagi Dovizioso bertindak balas dengan sempurna untuk mengulangi kejayaan 2018. Aksi ini terus mengukuhkan status Lusail sebagai antara litar yang penuh drama.
Apa Seterusnya di Qatar 2025?
Adakah Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) bakal menyertai senarai pelumba yang meraih kemenangan sulung di Lusail seperti Casey Stoner, Enea Bastianini dan Fabio Di Giannantonio? Atau adakah abangnya, Marc Marquez, akan bangkit semula selepas terjatuh di COTA? Mampukah Francesco Bagnaia mempertahankan kejayaannya tahun lalu?
Baca juga: