Bekas pemandu pembangunan F1 dan bintang Kejuaraan Formula BMW, Jazeman Jaafar, baru-baru ini berkongsi kisah perjalanan hidupnya sebagai seorang pelumba dalam sebuah temubual bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Sepang, Datuk Razlan Razali.
Jazeman, yang kini berusia 32 tahun, menggambarkan perjalanan kariernya sebagai satu pengalaman penuh warna-warni, diwarnai dengan kenangan pahit dan manis. Salah satu momen paling bermakna dalam hidupnya adalah apabila beliau menyertai Mercedes pada tahun 2011.
“Selepas program BMW tamat, bermulalah langkah pertama saya dalam Formula 3. Ketika itu, saya menerima banyak tawaran untuk tahun pertama F3, tetapi saya memilih untuk menyertai British Formula 3 kerana mereka menawarkan jumlah sesi ujian yang paling tinggi.
“Selepas melalui sesi ujian tersebut, kami berjaya mencapai tahap kelajuan yang diperlukan, tetapi kemahiran perlumbaan saya masih memerlukan banyak penambahbaikan. Oleh itu, saya berusaha keras meningkatkan latihan dan daya kecergasan saya. Pada tahun pertama, saya menamatkan perlumbaan dengan kedudukan di tempat ke-12 keseluruhan.
“Selepas F3, saya menyertai program pembangunan F1 bersama Mercedes. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, BMW telah menamatkan kontrak mereka bersama Petronas pada tahun 2010 dan di penghujung 2009, Mercedes mengambil alih tempat mereka dengan menandatangani kontrak baharu.
Beliau juga mengimbau kembali saat mengejutkan apabila menerima mesej dan panggilan tidak dijangka daripada Pengarah Urusan dan Teknikal Formula 1 British, Ross James Brawn OBE yang menawarkan beliau untuk menyertai program pembangunan F1 bersama pasukan Mercedes.
“Pada tahun 2011, saya menerima satu emel daripada pihak Mercedes. Pada mulanya, saya sangat terkejut dan berkali-kali memuat semula laman web untuk memastikan apa yang saya baca adalah benar. Pengirim emel tersebut ialah Ross Brawn dan Ron Meadows.
“Tanpa berfikir panjang, saya segera menaiki tren ke London untuk bertemu dengan pihak Mercedes. Di sana, mereka membawa saya melawat kilang mereka dan memberikan pendedahan tentang operasi mereka, termasuk kerjasama pembangunan antara Mercedes dan Petronas. Dari situlah perjalanan saya bersama Mercedes bermula,” kongsi Jazeman dalam satu sesi podcast bersama Wheel Talk oleh Tarmac Sports.
Disitulah beliau mula mencipta namanya dan karier 5 tahunnya selaku Pemandu Pasukan Formula 1 Mercedes AMG PETRONAS dari tahun 2011 hingga 2015.
Jazeman merupakan pelumba profesional negara yang sudah berkecimpung dalam industri selama 23 tahun. Beliau telah membuktikan dirinya sebagai pemandu berpengalaman dalam sukan permotoran Eropah dan Asia dengan pengalaman menyertai kejohanan Antarabangsa seperti Formula BMW Asia, Siri Antarabangsa Formula 3 British, Siri Dunia oleh Renault, GT World Challenge dan FIA World Endurance Championship (WEC).
Dengan kejayaan perlumbaan single-seater telah membawa kariernya untuk memasuki perlumbaan kereta sport endurance (ketahanan) yang membolehkan beliau berpindah dari dua pasukan kilang terkemuka seperti Mercedes-AMG dan McLaren GT.
Pada Mac 2019, Jazeman telah diletakkan sebagai Pengarah Lembaga Litar Antarabangsa Sepang (SIC) oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). Beliau telah memegang jawatan tersebut sehingga kini untuk meningkatkan lagi pengembangannya dengan pembangunan dan pemupukan generasi muda bakat Malaysia masa hadapan.
Selain itu, beliau juga Pengarah Eksekutif yang juga merupakan Pengasas Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP) di Persona Energy dimana beliau bekerjasama bersama Yayasan Raja Muda Selangor (Yayasan Raja Muda Selangor) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam membangunkan program pembangunan modal insan yang direka untuk meningkatkan kemahiran automotif, pengetahuan dan pemindahan teknologi rakyat Malaysia.
Tonton episode penuh disini: