Zulfahmi Khairuddin: “Ini Memang Impian Saya untuk Bawa Hakim ke Kejuaraan Dunia”

Pasukan ZK Racing, di bawah pimpinan Zulfahmi Khairuddin, terus membuktikan komitmen dalam membangunkan pelumba tempatan ke pentas dunia apabila Muhammad Hakim Danish Ramli disahkan bakal beraksi sepenuh musim dalam Kejuaraan Dunia Moto3 2026 bersama MT Helmets MSI.

Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, menjelaskan bahawa penyertaan Hakim adalah hasil perjalanan panjang serta rundingan teliti dengan pihak pasukan Eropah.

“Ini memang impian saya untuk membawa Hakim ke Kejuaraan Dunia. Kami telah berunding dengan pihak MSI sejak lama — lebih kurang enam bulan — namun terdapat beberapa terma yang saya kurang setuju pada awalnya. Di Misano, kami hampir menandatangani perjanjian, tetapi akhirnya semuanya dimuktamadkan selepas pemilik pasukan, Oscar dan Jordi, datang sendiri ke Malaysia untuk menyelesaikan rundingan serta membuat beberapa penyesuaian terakhir terhadap terma perjanjian. Alhamdulillah, segalanya selesai semalam,” katanya.

Lonjakan Besar untuk Hakim Danish

Musim 2026 bakal menjadi satu lonjakan besar buat Hakim Danish, yang akan menjalani 22 perlumbaan penuh sepanjang musim, perlumbaan yang padat jika dibandingkan dengan JuniorGP dan Red Bull Rookies. Buat masa ini, Hakim Danish menandatangani kontrak satu tahun bersama pasukan MT Helmets MSI.

“Ini satu cabaran besar buat Hakim Danish dan saya, terutama Danish kerana dia akan beraksi dalam musim penuh. Buat masa ini kontraknya untuk satu musim dahulu, tapi kami harap Danish dapat lakukan yang terbaik, tapi kami akan berusaha untuk pastikan dia kekal selepas 2026,” tambah Zulfahmi.

Kontrak Profesional dan Fokus Utama

Berbeza dengan kerjasama terdahulu, kontrak kali ini merupakan kontrak profesional sepenuhnya bersama MT Helmets MSI, antara pasukan paling konsisten dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

Gambar: MT Helmets MSI

“Kalau dulu, kami perlu tanggung banyak komitmen kewangan, tapi kali ini lain. Tawaran daripada pihak MT sangat baik. Dalam Kejuaraan Moto3 sekarang, hanya MT Helmets yang masih ada kekosongan tempat, jadi kami tidak mahu tunggu lama. Sebelum orang lain ambil, saya dah selesaikan semuanya semalam. Ramai yang mahukan tempat Piqueras. Jentera yang Hakim Danish ambil aalah motor Piqueras yang kini berada di kedudukan kedua dalam World Championship,” katanya.

Beliau turut menerangkan bahawa kontrak tersebut merangkumi gaji, bonus, menjadikan pakej ini antara yang paling kompetitif bagi pelumba bukan Eropah.

Mengenai penajaan, Zulfahmi berkata:

“Jujurnya, buat masa ni kita masih lagi di bawah program SIC. Saya masih lagi mengharapkan yang SIC terus bermotivasi untuk perjuangkan program ni selepas kejayaan-kejayaan seperti Hakim, Qabil. Alhamdulillah, saya rasa mereka masih lagi di belakang saya. Harap-harapnya AEON gembira dan akan terus bersama untuk tahun depan.”

“Buat masa sekarang penaja hanya MT Helmets, saya perlu dapatkan tempat untuk Hakim Danish dulu barulah berunding untuk penajaan.”

Fahmi Puji Prestasi Danish di Sepang

Mengulas mengenai penampilan sulung Hakim dalam Moto3 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Zulfahmi memuji tahap kematangan dan kemampuan pelumba muda itu untuk bersaing dengan pelumba bertaraf dunia.

“Danish agak kecewa dengan keputusan sesi kelayakan, tapi pada pendapat saya, apa yang dia buat dah cukup bagus. Dari sesi FP1 sampai pagi tadi, malah berjaya layak ke Q2, pagi tadi P6, bagi saya ini adalah pengalaman baru yang Danish adadan catat masa yang kompetitif,” jelasnya.

“Ketika sesi kelayakan tadi, cuaca pula sangat panas kita pernah lalui, suhu litar pagi tadi 45 darjah dan petang cecah 68 darjah, jadi memang bukan situasi mudah. Kita harap esok dia boleh bersaing dalam posisi yang baik, mungkin belum podium, tapi siapa tahu kalau ada keajaiban. Kita hanya beri yang terbaik sebagai pasukan,” tambahnya.

Hakim Danish: “Saya Akan Kekal Fokus dan Beri yang Terbaik”

Hakim Danish turut berkongsi rasa syukur dan kegembiraannya selepas pengumuman rasmi tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, pada tahun depan saya akan beraksi penuh di dalam kategori Moto3 World Championship dengan pasukan MT Helmets MSI. Saya sangat gembira dan saya akan buat yang terbaik. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pasukan saya, abang Fahmi, dan juga penajang yang lain kerana betul-betul berusaha untuk jayakan perkara ini”.

Pelumba berusia 18 tahun itu, yang menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-14 (P14), mengakui sesi kelayakan tadi agak sukar,

“Memang agak sukar. Saya rasa untuk kali seterusnya, saya perlu perbaiki cara saya menyesuaikan diri dalam sesi kelayakan kerana di Kejuaraan Dunia dari awal sesi mereka memang terus laju. Jadi saya perlu belajar dan kaji lagi untuk tingkatkan prestasi saya pada masa akan datang.

“Untuk perlumbaan esok, saya tidak letakkan sebarang sasaran khusus. Saya hanya mahu kekal fokus, kekal bermotivasi, dan berikan yang terbaik dalam perlumbaan,” katanya.

Hakim Danish akan mengambil tempat Angel Piqueras yang akan ke Moto2 musim hadapan, dan pelumba Terengganu itu akan bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka,

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related