Zaqhwan Zaidi terlepas peluang beraksi di perlumbaan WorldSBK

PETRONAS MIE Racing Honda Team memulakan pusingan pertama Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2025 dengan pelumba Tarran Mackenzie dan Zaqhwan Zaidi beraksi dalam sesi latihan bebas terakhir pada pagi Sabtu.

Keadaan litar yang sedikit lebih sejuk pada awal pagi membantu kedua-dua pelumba mencatat masa lebih baik berbanding hari sebelumnya dengan Mackenzie berjaya memperoleh catatan masa di bawah 1 minit 31 saat buat pertama kali dengan 1’30.900, manakala Zaidi, yang masih dalam fasa penyesuaian, memperbaiki catatannya sebanyak lapan persepuluh saat untuk mencatat 1’34.679.

Sesi kelayakan Superpole pertama musim ini berlangsung pada sekitar jam 10 pagi waktu tempatan dengan suhu yang semakin meningkat (30°C udara, 45°C trek). Sesi ini bermula mengikut jadual tetapi terpaksa dihentikan seketika dengan bendera merah selepas hanya empat minit akibat kemalangan seorang pelumba lain.

Setelah sesi bersambung, Mackenzie dan Zaidi berusaha mencatat masa terbaik. Mackenzie mencatat 1’31.830 pada minit-minit akhir, sekali gus meletakkannya di petak ke-21 untuk Perlumbaan 1. Bagi Zaidi, yang pertama kali menyertai sesi Superpole, cabaran semakin bertambah dengan perlu menyesuaikan diri dengan trek baharu, jentera baharu dan tayar baharu.

Kredit: Mie Racing

Walaupun mencatat masa terbaik 1’34.445, Zaidi tidak berjaya merekodkan masa kelayakan yang sah, menyebabkan beliau tidak dibenarkan beraksi dalam perlumbaan hujung minggu ini.

Sesi sebelah petang menyaksikan perlumbaan Superbike penuh pertama berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik pada sebelah petang (36°C udara, 55°C trek) dengan jarak 20 pusingan, termasuk keperluan untuk menukar tayar di pertengahan perlumbaan.

Bermula dari barisan ketujuh, Mackenzie mempamerkan kemajuan stabil dalam lima pusingan pertama, naik ke kedudukan ke-17 sebelum memasuki pit pada pusingan ke-10 untuk pertukaran tayar. Beliau akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 sekaligus mengumpul data penting untuk perlumbaan seterusnya.

Bagi Zaidi pula, kejohanan ini merupakan pengalaman pembelajaran yang mencabar. Pelumba Malaysia itu mengalami kemalangan pada awal minggu akibar hujan lebat, menyebabkan beliau tidak dapat memanfaatkan sesi ujian rasmi SBK pada hari Isnin dan Selasa lalu. Oleh itu, Zaidi kesuntukan masa dan hanya mempunyai sesi latihan pada Jumaat dan Sabtu untuk memahami jenteranya.

Mengulas tentang prestasinya, Zaidi mengakui bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi beliau tetap positif untuk menghadapi cabaran ini.

“Ini bukan catatan masa yang saya harapkan dan saya pasti boleh menjadi lebih pantas, tetapi saya memerlukan masa. Masa untuk memahami jentera, tayar baharu… Format Superpole juga satu cabaran baru bagi saya, kerana masa yang diberikan sangat terhad untuk mencatat pusingan pantas.

“Saya telah menunjukkan peningkatan dalam setiap sesi, dan itu adalah petanda baik, cuma ia belum cukup lagi. Sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat berlumba dalam pusingan pertama ini, tetapi saya akan terus fokus dan bekerja keras.

Kredit: Mie.Racing

Secara keseluruhan, pengalaman SBK ini sangat menyeronokkan, berlumba dengan pelumba yang saya anggap sebagai suatu yang luar dari liga saya, mereka merupakan juara di atas litar. Tahap persaingan di sini sangat tinggi, dan saya harus menerima hakikat bahawa ia memerlukan masa dan usaha untuk menyesuaikan diri dan mencapai tahap yang diinginkan.”

“Saya hanya perlu terus bekerja untuk memperbaiki tunggangan saya, meningkatkan latihan dan bersiap sedia sebaik mungkin untuk pusingan seterusnya. Matlamat utama adalah untuk terus menunjukkan peningkatan.

Walaupun menunjukkan peningkatan dalam setiap sesi latihan, Zaidi masih memerlukan lebih keyakinan dan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera dan format perlumbaan WorldSBK.

Bagi memastikan perkembangan berterusan, PETRONAS MIE Racing Honda Team merancang untuk mengadakan sesi ujian tambahan bagi membantu Zaidi mempersiapkan diri menjelang pusingan kedua pada 28-30 Mac nanti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related