Dua pelumba negara berjaya meraih podium selepas memberikan saingan sengit kepada pelumba terbaik Asia dalam kategori SS600 dan ASB1000 di pusingan ke-6 Kejohanan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2024, pada petang Sabtu.
Aksi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang itu menyaksikan pelumba negara, Helmi Azman mempamerkan aksi meyakinkan apabila memimpin perlumbaan pada pusingan kedua terakhir sebelum dipintas di saat-saat akhir yang menolak beliau untuk berada di kedudukan ke-3 setelah menamatkan perlumbaan +0.418 saat di belakang tuan rumah.
Pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon membuktikan kemampuannya dengan memanfaatkan kelebihan berlumba di laman sendiri untuk mengungguli kategori SS600 itu.
Manakala satu lagi pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dari Pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo, turut meraih podium apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-2 dalam perlumbaan 1 bagi kategori ASB1000.
Rakan sepasukannya dari Indonesia, Farid Izdihrar jelas sukar digugat apabila memberikan persembahan luar biasa untuk memenangi kategori tersebut dengan catatan masa 20’44:539s di hadapan. Izdihar yang sudah jelas menguasai perlumbaan sejak dari permulaan berhasil menggunakan kelebihan tersebut dengan meraih keputusan yang memberangsangkan.
Sementara itu satu lagi wakil negara bagi kategori ASB1000, Hafizh Syahrin (JDT Team Racing) yang berada dalam misi perebutan trofi kejuaraan dunia, menamatkan perlumbaan di tempat kelima sekali gus menjadikan pelumba kedua negara untuk berada dalam kelompok lima teratas.
Setakat aksi perlumbaan 1, Hafiz Syahrin kekal di tangga ketiga dalam carta kejuaraan dunia selepas meraih 148 mata apabila ketinggalan 17 mata di belakang Farid Izdihar. Manakala, satu lagi pelumba negara , Azlan Shah Kamaruzaman bersama jentera BMW S1000RR pula di tempat ke-5 dengan 115 mata.
Pelumba-pelumba negara bakal meneruskan perjuangan mereka dalam merangkul gelaran dalam pusingan terakhir ARRC 2024 di aksi perlumbaan 2 yang dijadualkan esok.