Pasukan Yamaha MotoGP telah memperkenalkan barisan pasukan serta jentera baharu yang bakal bersaing dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2025.
Dalam acara pelancaran rasmi di W Hotel Kuala Lumpur, Yamaha memperkenalkan Team Principal baharu, Paolo Pavesio, serta jentera terbaharu mereka untuk musim ini. Bintang MotoGP, Fabio Quartararo dan Álex Rins, turut menjadi tumpuan utama apabila mereka mendedahkan Yamaha YZR-M1 2025 yang tampil dengan skema warna baharu, menampilkan lebih banyak elemen biru.
Acara ini turut menyaksikan Monster Energy Yamaha MotoGP berkongsi pentas bersama dua pasukan baharu Yamaha, iaitu Prima Pramac Yamaha MotoGP dan BLU CRU Pramac Yamaha Moto2, sekali gus menandakan kesungguhan Yamaha untuk kembali sebagai pencabar utama dalam kejuaraan MotoGP.
“Majlis hari ini sangat bermakna buat kami. Kebiasaannya, kami melakukan pelancaran secara bersendirian, tetapi musim ini lebih istimewa kerana kami melancarkan pasukan bersama Yamaha, disertai oleh Pramac MotoGP dan pasukan Moto2 mereka.
“Melihat kepada usaha Yamaha dalam membawa wajah baharu ke dalam pasukan termasuk pelumba tambahan, pelumba ujian serta kru baharu ia menambah keyakinan kami. Yamaha Motor jelas memberikan isyarat bahawa kami harus melaksanakan tugas dengan sebaiknya dan membawa misi pasukan untuk meraih podium serta memenangi perlumbaan musim ini.
“Dengan Fabio dan Álex, kami tidak perlu khuatir kerana mereka adalah pelumba berbakat yang mampu mengeluarkan prestasi terbaik daripada YZR-M1. Kami yakin mereka adalah pilihan tepat dalam perancangan Yamaha untuk kembali ke landasan kemenangan,” kata Direktor Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP , Massimo Meregalli.
Meregalli turut menjelaskan bahawa kerjasama dengan Prima Pramac Yamaha MotoGP bakal membawa kesan positif terhadap pembangunan jentera, di mana pertukaran data antara kedua-dua pasukan akan mempercepatkan inovasi Yamaha dalam MotoGP.
Sementara itu, livery Monster Energy Yamaha MotoGP bagi musim ini menampilkan lebih banyak elemen warna biru, mencerminkan perubahan yang dikenali sebagai ‘Blue Shift’. Beberapa perubahan juga dilakukan pada susunan logo penaja, memberikan penampilan yang lebih dinamik kepada jentera.

Selain motosikal, reka bentuk baharu ini turut diterapkan dalam hiasan garaj pasukan serta pakaian rasmi mereka, yang kini dihasilkan oleh pembekal pakaian rasmi baharu, Macron.
Bagi mengukuhkan lagi pasukan, beberapa tenaga baharu turut dibawa masuk ke dalam garaj. Quartararo akan terus dibimbing oleh ketua kru Diego Gubellini, manakala Rins mendapat bimbingan daripada ketua kru baharu, David Munoz, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ketua kru kepada legenda MotoGP, Valentino Rossi.
Terdahulu, majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan beberapa pengenalan kepada barisan pengurusan baharu Yamaha, yang menampilkan Paolo Pavesio sebagai Team Principal baharu Monster Energy Yamaha MotoGP Team.
Sebelum ini, Pavesio berkhidmat sebagai Pengarah Pemasaran & Sukan Permotoran di Yamaha Motor Europe (YME). Beliau menggantikan Lin Jarvis, yang telah mengetuai Yamaha Factory Racing sejak 1999 dan kini berperanan sebagai Penasihat Kanan di Yamaha Motor Racing (YMR).
Maio Meregalli pula terus berkhidmat sebagai Team Director Monster Energy Yamaha MotoGP, jawatan yang dipegangnya sejak 2011.


