Kepulangan Formula 1 ke Madrid bakal diselangi dengan nostalgia buat Williams Racing. Bagi meraikan detik ini, pasukan yang berpangkalan di UK itu memperkenalkan livery edisi khas yang diinspirasikan daripada jentera ikonik juara dunia 1981 mereka, FW07C, iaitu kereta terakhir yang dipandu Williams ketika F1 bertanding di ibu kota Sepanyol itu suatu ketika dahulu.

Corak khas yang membaluti jentera pelumba tuan rumah, Carlos Sainz dan rakan sepasukannya Alex Albon ini menampilkan gabungan warna putih, hijau dan biru gelap. Ia merupakan penghormatan penuh buat rekaan kereta 1981 yang pernah dikendalikan oleh Alan Jones dan Carlos Reutemann di litar Circuito de Jarama.
Bagi Williams, rekaan ini bukan sekadar gaya, tetapi melambangkan lipatan sejarah yang menjadi pembakar semangat untuk mereka bangkit semula ke kelompok atasan.
Sentuhan Nostalgia, Semangat Moden
Livery khas ini dipertontonkan kepada umum dalam satu acara khas bersama Sainz di Plaza de Callao, Madrid, bersempena persediaan menghadapi perlumbaan pertama di Litar Madring.
Pengetua Pasukan, James Vowles, menegaskan bahawa misi Williams untuk kembali ke puncak grid dibina atas asas sejarah mereka sendiri. Beliau meluahkan rasa bangga dapat menghubungkan era kegemilangan mereka di Jarama dengan identiti moden pasukan hari ini menerusi kerjasama bersama penaja utama, Atlassian.
Misi Memburu Mata di Bumi Sepanyol
Bagi Carlos Sainz, ini merupakan GP Sepanyol ke-13 dalam kerjayanya, namun yang pertama di Madrid – bandar kelahirannya di mana perjalanan awalnya dalam sukan permotoran bermula.
Dari sudut prestasi, Williams kini berada di tangga kesembilan Kedudukan Mata Pengeluar dengan 11 mata dan sedang berusaha keras menamatkan kemarau mata sejak pungutan mata terakhir Albon di Monaco.


