Wildcard MotoGP, Dana cabaran utama Hakim Danish

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mendedahkan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menghantar pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, bagi menyertai perlumbaan wildcard dalam MotoGP.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa kos penyertaan menjadi halangan utama yang perlu diatasi sebelum impian tersebut dapat direalisasikan.

Menurut Zulfahmi, perbincangan awal bersama pihak MotoGP dan Dorna akan dilakukan, dan beliau optimis tiada masalah besar dari segi kelulusan wildcard. Namun, cabaran sebenar terletak pada keperluan untuk menyediakan dana tambahan bagi menampung kos penyertaan.

“Untuk wildcard tu saya harus berbincang dengan pihak MotoGP, Dorna dan saya rasa tidak akan ada masalah. Cumanya persiapan untuk pergi ke wildcard memerlukan kami mencari sendiri dana tambahan untuk menanggung kos tersebut,” jelas Zulfahmi.

Tambahnya lagi, pasukan SIC Racing turut bergelut dengan kekangan dana sepanjang musim ini, terutama dalam kejohanan JuniorGP yang turut mereka sertai. Walaupun mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan komitmen mereka.

“Tahun ini, di perlumbaan JuniorGP juga kami agak bergelut dengan dana sedia ada. Kami menghargai setiap pemberian daripada SIC dan juga bantuan lain, tetapi dengan jumlah kejohanan yang kami sertai, dana itu memang tidak mencukupi.”

Zulfahmi menegaskan bahawa mereka sedang berusaha mencari penajaan tambahan supaya usaha dan pengorbanan seluruh pasukan dan pelumba tidak sia-sia.

“Sekiranya kami mahu menang, kami kena usaha lebih keras untuk mencapai keputusan tersebut. Kami perlu mencari dana yang lebih supaya matlamat kami tercapai,” ujarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sesi sidang media, semalam.

Hakim Danish kini menjadi antara prospek cerah Malaysia dalam dunia sukan permotoran, dan peluang beraksi sebagai wildcard dalam MotoGP bakal menjadi satu lagi lonjakan besar dalam kariernya. Namun segala usaha itu memerlukan sokongan kukuh dari segi kewangan agar bakat muda negara tidak terhenti di tengah jalan.

Pada 23 April lalu, pihak SIC menetapkan bahawa pelumba muda negara itu perlu meraih sekurang-kurangnya tiga kedudukan terbaik sepanjang musim ini sebagai syarat utama untuk dipertimbangkan bagi slot wildcard ke Moto3 dalam saingan MotoGP tahun hadapan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related