Ketika Mercedes memilih Kimi Antonelli untuk menggantikan Lewis Hamilton bagi musim 2025, tidak semua peminat yakin bahawa pasukan Jerman itu telah membuat keputusan yang tepat.
Antonelli, yang baru berusia 18 tahun ketika membuat penampilan sulungnya di GP Australia 2025, digandingkan dengan George Russell, seorang pelapis Mercedes yang terbukti antara pelumba terbaik F1.
Persoalan peminat Mercedes rata-ratanya sama, “Bukankah ini terlalu awal buat Kimi?”.
Musim 2025 Yang Mencabar
Antonelli memulakan karier F1-nya dengan keputusan yang menjanjikan apabila memperoleh tempat keempat pada GP sulungnya. Namun, konsistensi merupakan cabaran terbesar buat pelumba muda dari Itali ini.
Tekanan semakin terasa apabila Russell, di garaj sebelah, mula mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada Antonelli. Pada musim 2025, Russell memperoleh dua kemenangan di Kanada dan Singapura, manakala Antonelli pula masih tercari-cari kemenangan sulungnya.
Secara keseluruhan, musim pertama buat Antonelli merupakan satu proses pembelajaran untuk sentiasa konsisten dalam perlumbaan. Antonelli memperoleh podium pertamanya di GP Kanada selepas mendapat tempat ketiga pada perlumbaan itu. Ini membuktikan bakatnya ada dan hanya perlu digilap dengan lebih tajam lagi supaya dia tidak mudah melakukan kesilapan di litar.
2025 berakhir dengan Antonelli mendapat kedudukan ketujuh dalam kejuaraan dan mengumpul 150 mata. Dia berjaya merangkul tiga podium pada tahun pertamanya serta berjaya memecahkan rekod Lewis Hamilton (109 mata) bagi jumlah mata terbanyak pada musim pertama.
Musim 2026 Mendewasakan Antonelli
Memasuki musim 2026, kelihatan Antonelli mulai selesa dengan jenteranya. Dengan perubahan besar pada peraturan teknikal F1, semua pasukan dan pelumba perlu menyesuaikan diri dengan generasi baharu kereta.
Antonelli ternyata mampu melakukan perkara tersebut dengan sangat pantas. Dia bukan sahaja mampu mengendalikan kereta baharu Mercedes, malah menunjukkan race pace yang semakin matang.
Setakat separuh musim, Antonelli sudah mengumpul enam kemenangan Grand Prix, termasuk kemenangan sulung di GP China serta di GP Monaco, antara litar yang paling sukar dalam sejarah F1. Sebagai perbandingan, Russell hanya memenangi dua perlumbaan pada musim ini.
Apa yang membanggakan buat anak muda ini, perkembangannya dalam dunia F1 tidak terhad kepada jumlah kemenangan. Race pace dan qualifying pace yang ditunjukkannya juga semakin baik. Dalam perlumbaan, Antonelli lebih tenang ketika menguruskan tayar, menyesuaikan diri dengan keadaan trek, dan bijak beradaptasi dengan penggunaan bateri untuk mencari peluang menyerang pesaingnya.
Pelumba Yang Bijak Menyesuaikan Diri Dalam Era Baharu F1
Perubahan Antonelli dalam era baharu F1 amat ketara.
Contohnya di Kanada, Antonelli terlibat dalam pertarungan sengit dengan Russell pada peringkat awal perlumbaan. Walaupun Russell nampak lebih matang dalam mengawal keadaan ketika berlumba, Antonelli juga tidak kurang hebatnya apabila dia memastikan keretanya tidak ketinggalan jauh daripada Russell. Mereka saling bertukar posisi sebelum masalah enjin menamatkan perlumbaan Russell, lalu membuka jalan buat Antonelli untuk memenangi perlumbaan.
Di GP Britain, Antonelli sekali lagi menunjukkan kebolehannya dalam penggunaan bateri ketika Sprint Race. Dia menggunakan kelebihan unit kuasanya untuk mengumpul bateri dan menyerang Lewis Hamilton yang sudah kehabisan bateri.
Di GP Belgium pula, Antonelli menunjukkan kematangan yang sama. Walaupun kehilangan kedudukan kepada Charles Leclerc selepas hentian pit, dia kekal tenang dan berjaya mendapatkan semula kedudukan pertama dengan 10 pusingan berbaki untuk meraih kemenangan keenamnya.
Ini adalah jenis perlumbaan yang menunjukkan perubahan seorang pelumba daripada pelumba baharu (rookie) kepada pencabar kejuaraan.
Jika pada 2025 dia masih belajar bagaimana untuk bertahan dalam Formula 1, pada 2026 dia sudah kelihatan seperti pelumba yang tahu bagaimana untuk mengawal perlumbaan. Malah, kemenangan di Jepun menjadikan Antonelli pelumba termuda dalam sejarah F1 yang mendahului kejuaraan dunia.
Sekiranya Antonelli dapat mengekalkan konsistensi ini, maka tidak mustahil kejuaraan dunia musim ini akan berpihak kepadanya.


