Pelumba pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Fabio Di Giannantonio (Diggia) yang ditemubual sebelum sesi sidang media dan majlis pelancaran pasukan baru-baru ini menjelaskan beliau lebih bersemangat, bermotivasi dan fokus dari segi fizikal dan mental.
Sebelum ini Diggia terpaksa menjalani pembedahan bahu kiri selepas terbabit dengan kemalangan dalam sesi Latihan di GP Austria yang lalu. Dia disahkan terkehel bahu kiri dan perlu menjalani pembedahan selepas penilaian oleh kakitangan perubatan.
Diggia selamat menjalani pembedahan yang diketuai oleh Profesor Alessandro Castagna menggunakan Teknik arthroscopic di pusat perubatan Villa Stuart, Rome pada 4 November 2024 dan dijangka mengambil masa 3 bulan proses pemulihan. Kini Diggia giat jalani proses fisio bagi persiapan perlumbaan musim 2025 dan beliau nyatakan keadan fizikal kini telah pulih lebih 85%.
Bercakap mengenai keadaan fizikal semasa, ini yang dikongsikan oleh beliau;
“Saya berada dalam keadaan yang baik dan berharap dapat meningkatkan sedikit lagi dalam minggu depan sebelum tiba di ujian pertama (saya) musim 2025. Saya tidak sabar untuk berada di litar minggu depan. Rancangannya adalah untuk menunggang beberapa hari dengan Panigale di Mandalika sebelum ujian. Dari situ, kami akan menguji keadaan fizikal saya sebelum ujian MotoGP musim ini. Tetapi secara jujurnya, saya berada dalam keadaan baik dan sangat bermotivasi.”
“Musim sejuk yang panjang, tetapi ia juga menjadi waktu yang baik untuk pulih, terutamanya dari segi mental, dan untuk mengembalikan semula tenaga. Jadi, selepas pelancaran pasukan, saya tidak sabar untuk bersama dengan pasukan di litar.”

Diggia juga berkongsi mengenai matlamat dan misi untuk musim baru.
“Saya mahu meningkatkan prestasi saya. Fokusnya adalah untuk menikmati, seperti yang saya katakan. Kami mempunyai peluang luar biasa untuk raih pencapaian tahun lepas dan cuba untuk berada di podium yang sepatutnya kami capai tahun lepas.“
“Matlamatnya adalah untuk sampai sehampir mungkin dengan pelumba-pelumba teratas, dan jika boleh, kenapa tidak kalahkan mereka? Saya tidak pernah membandingkan diri saya dengan sesiapa – saya tidak pernah melakukannya – tetapi yang pasti, saya mensasarkan sesuatu yang besar.”
Menyentuh berkenaan dengan projek pembangunan Bersama pasukan dan Ducati, ini pula komen beliau.
“Berkenaan dengan projek dan pembangunan, saya rasa kita akan mempunyai tiga cara kerja yang berbeza, tetapi cara terbaik mungkin adalah dengan bekerja dengan cara yang sama untuk mempercepatkan pembangunan. Saya percaya ini adalah peranan Gigi, dan saya percaya dia akan mengurusnya dengan sebaik mungkin.”


