Cuti musim panas kalendar MotoGP dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak Mandalika International Circuit dengan menganjurkan siri promosi dan jelajah (roadshow) berskala besar bersama dua pelumba Honda Team Asia, Mario Suryo Aji dan Veda Ega Pratama, di beberapa wilayah utama Indonesia.
Kempen tersebut digerakkan secara strategik menerusi kerjasama antara Mandalika International Circuit, InJourney Tourism Development Corporation (ITDC), pempengaruh terkenal serta Honda Team Asia. Jelajah itu meliputi beberapa bandar utama seperti Jakarta, Daerah Istimewa Yogyakarta, Bali dan beberapa lokasi penting lain bagi meningkatkan kesedaran orang ramai serta merancakkan jualan tiket Grand Prix Mandalika.
Mario Suryo Aji, yang kini bersaing dalam kategori Moto2, merupakan pelumba kelahiran Magetan, Jawa Timur dan dibangunkan menerusi program pembangunan bakat Astra Honda. Sementara itu, Veda Ega Pratama yang beraksi dalam kategori Moto3 berasal dari Gunungkidul, Yogyakarta. Pelumba muda sensasi itu mula diasah dalam dunia perlumbaan oleh bapanya, Sudarmono, yang juga merupakan bekas pelumba.
Pemilihan kedua-dua pelumba sebagai wajah utama kempen promosi dilihat mampu menarik sokongan peminat tempatan, khususnya di kawasan asal mereka, selain memperkukuh lagi keterujaan menjelang penganjuran MotoGP Mandalika.
Sebelum ini, MotoGP Mandalika 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika dari 3 hingga 5 Oktober mencatatkan rekod kehadiran baharu apabila seramai 140,324 penonton hadir sepanjang tiga hari penganjuran. Jumlah itu meningkat sebanyak 15.7 peratus berbanding 121,000 penonton yang direkodkan pada edisi 2024.
Pencapaian tersebut bukan sahaja menjadi rekod kehadiran tertinggi sejak Mandalika menjadi tuan rumah MotoGP pada tahun 2022, malah hari perlumbaan turut menyaksikan seramai 67,905 penonton memenuhi kawasan grandstand.
Kehadiran luar biasa itu turut memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada Pulau Lombok apabila kadar tempahan hotel dilaporkan mencapai kapasiti penuh sepanjang hujung minggu perlumbaan.


