Grand Prix Itali tahun ini telah memperkenalkan set trofi rasmi bagi pemenang yang meraih podium di Monza. Anehnya, trofi itu direka menyerupai susunan mangkuk atau pinggan mangkuk domestik yang bertingkat, hasil sentuhan karya gandingan artis tempatan, vedovamazzei (Stella Scala dan Simeone Crispino).
Trofi yang diberi nama FRAGILE ini dicetak menggunakan teknologi percetakan 3D serbuk nilon, dan trofi tersebut membawa beberapa makna simbolik yang cukup mendalam.
Tradisi Perayaan Bersama Komuniti
Reka bentuk ini asalnya diilhamkan daripada tradisi perayaan rakyat Itali yang menyambut kemenangan dengan menghulurkan “celebratory cup” (cawan keraian) dari satu tangan ke tangan yang lain. Pelumba F1 mungkin memegang trofi itu secara individu di atas podium, tetapi kejayaan itu umpama diraikan oleh seluruh komuniti pasukan, termasuk pasukan jurutera, kru pit, dan sokongan staf HQ.
Kejuaraan yang Rapuh dan Tidak Kekal
Susunan mangkuk bertingkat itu mewujudkan persepsi struktur yang tidak stabil. Ia menggambarkan bahawa kemenangan dalam F1 bukanlah sesuatu yang kekal selamanya. Kejayaan itu perlu dipertahankan dan direbut kembali untuk seseorang pelumba kekal berada di puncak. Satu kesilapan kecil boleh menjatuhkan segalanya.
Trofi ini akan dipersembahkan buat kali pertama di podium pada perlumbaan di Monza. Persoalannya, siapa yang bakal memegang trofi yang unik ini pada minggu ini?
Jika anda tidak mahu ketinggalan tentang perlumbaan kali ini, rujuk jadual GP Itali seperti di bawah:
Jadual GP Itali 2026 (Waktu Malaysia)
Jumaat (4 September)
- FP1 – 6:30 petang
- FP2 – 10:00 malam
Sabtu (5 September)
- FP3 – 6:30 petang
- Qualifying – 10:00 malam
Ahad (6 September)
- Race Day – 9:00 malam


