Apa yang berlaku pada perlumbaan pusingan pertama MotoGP di Qatar? Antara yang boleh kita perkatakan adalah situasi pasukan Trackhouse Racing MotoGP secara lebih mendalam. Semuanya nampak okay sehinggalah terdapat keadaan dimana Raul Fernandez berdepan dengan situasi kelam kabut dari grid dan steward perlumbaan masuk untuk mengarahkan Raul masuk ke pit.
Jadi apa yang berlaku sebenarnya pada Raul?
Jentera Raul mengalami masalah elektronik setelah lampu pada papan pemuka di jentera Aprilia menyala dan menunjukkan ‘error code’ sebelum perlumbaan bermula. Setelah masuk ke pitlane, masalah tidak selesai begitu sahaja dan mengambil masa yang lama.
Pelumba dari Spain itu terpaksa berlari ke pit garaj pasukan untuk mengambil jentera kedua. Saat ini Raul berpendapat pusingan pertama beliau bakal berakhir kerana jentera kedua menggunakan tayar terpakai.
“Sejujurnya, saya sangat kecewa. Selepas sesi Warm Up yang sangat baik dan hujung minggu yang sangat baik, kami mampu bersaing dengan kompetitif. Di grid saya mempunyai masalah dengan elektronik, saya tidak tahu mengapa sebenarnya. Saya melihat lampu di papan pemuka dan melihat ada sesuatu yang tidak betul.
“Kami cuba mencari penyelesaian di pitlane, tetapi kami tidak menemui kemungkinan untuk menggunakan jentera pertama. Jadi, saya terpaksa berlari mengambil jentera lain yang tayarnya telah digunakan dan dengan itu perlumbaan saya boleh dikira tamat. Saya cuba berlumba tetapi lima pusingan terakhir amat sukar untuk menguruskan tayar, saya tidak boleh kendali jentera dan ambil keputusan untuk masuk ke garaj.” – Raul Fernandez

Bagi Miguel pula, dia terpaksa langsaikan penalti yang dikenakan dan diselesaikan pada lap kelima yang mengakibatkan kedudukan ke-15 beliau menjadi ke-19. Namun Miguel berpendapat dia dan pasukan memiliki kelajuan pada hari Sabtu. Pun begitu, Miguel berjaya kembali ke posisi 15 dan terpaksa menggunakan tayar sepenunya untuk satu mata berharga.
Pengurus pasukan, Wilco Zeelenberg berpendapat drama pembukaan 2024 yang berlaku ke atas pelumba mereka sesuatu yang bukan mereka mahukan. Namun Wilco positif apabila ada satu aspek yang mereka capai di Qatar iaitu kelajuan jentera untuk dibawa ke Portimao pada 22 hingga 24 Mac ini.
“Mari pergi ke Portimao sekarang dengan kelajuan yang kita ada. Kami telah menunjukkan beberapa kali hujung minggu ini, kami boleh melakukan lebih baik. Tetapi segala-galanya perlu disekalikan bersama dan itu jelas tidak berlaku pada hujung minggu ini.” – Wilco