JOHOR BAHRU: Tarmac Sports berkesempatan menghadiri program Motorsports Talk 2.0 2026 yang berlangsung pada 13 Ogos lalu di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang turut menampilkan kehadiran YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ) serta YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan warga UTM itu mengetengahkan perkongsian pengalaman TPJ mengenai perjalanan membangunkan dan membawa misi perlumbaan Johor Motorsports Racing (JMR) ke pentas permotoran antarabangsa.
Perkongsian tersebut menjadi lebih bermakna susulan pencapaian JMR yang terus mengukuhkan nama Malaysia di peringkat dunia, termasuk kejayaan merangkul gelaran Pro-Am dalam perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa-Francorchamps di Belgium.
Namun, Motorsports Talk 2.0 bukan sekadar platform untuk berkongsi kisah kemenangan di litar. Ia membuka ruang kepada pelajar, tenaga pengajar serta pakar dalam pelbagai bidang untuk memahami bahawa sukan permotoran merupakan sebuah industri yang menuntut gabungan ilmu, disiplin dan kepakaran daripada pelbagai cabang.
Permotoran bukan hanya mengenai kelajuan dan kemenangan. Ia turut melibatkan keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan, strategi perlumbaan, inovasi teknologi, kerja berpasukan, ketahanan mental serta disiplin tinggi — elemen yang turut relevan dalam dunia akademik dan industri.
Kerjasama antara UTM, JMR dan penaja seperti KFC melalui QSR Brands menerusi Motorsports Talk 2.0 juga memperlihatkan bagaimana institusi pendidikan tinggi boleh mendekatkan pelajar dengan situasi sebenar industri.
Pengalaman sebuah pasukan yang beraksi dalam perlumbaan berprestij kategori GT3 seperti JMR memberi gambaran lebih jelas kepada pelajar mengenai bagaimana teori, teknologi dan kepakaran diterjemahkan dalam situasi sebenar yang memerlukan keputusan pantas dan tepat.
Kejayaan JMR di Spa-Francorchamps turut membuktikan bahawa pasukan permotoran dari Malaysia mempunyai kemampuan untuk pergi lebih jauh apabila digerakkan melalui gabungan tenaga profesional, kepakaran teknikal, strategi dan sokongan rakan penaja.
Lebih daripada itu, perjalanan JMR di pentas antarabangsa turut membawa identiti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.
Dalam sukan permotoran moden, aspek penajaan juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah pasukan mampu berkembang secara konsisten. Kerjasama antara JMR dan KFC Malaysia melalui QSR Brands yang kini memasuki tahun ketujuh menjadi contoh bagaimana hubungan strategik antara pasukan dan penaja boleh menyokong pembangunan pasukan dalam aspek teknologi, inovasi, operasi serta penglibatan peminat.
JMR turut mencipta sejarah tahun ini menerusi penampilan sulung dalam 24 Hours of Le Mans, dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 dalam kelas LMGT3, sebelum meneruskan momentum dengan kejayaan memenangi kategori Pro-Am pada 24 Hours of Spa-Francorchamps, Belgium.
Pasukan JMR mempertaruhkan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, dengan jentera #99 dipandu oleh YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim bersama Ben Green, manakala jentera #66 yang diketuai YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim diperkuatkan oleh Jordan Love.
Melalui Motorsports Talk 2.0, kisah JMR bukan sekadar tentang apa yang berlaku di atas litar, tetapi turut menjadi gambaran bagaimana sukan permotoran boleh menjadi platform pendidikan, pembangunan bakat, inovasi dan pembinaan jaringan industri — sekali gus membuka perspektif baharu kepada generasi muda mengenai peluang yang tersedia dalam ekosistem motorsports.


