Toprak Razgatlioglu dikenakan penalti Long Lap untuk perlumbaan utama Grand Prix Sepanyol selepas terlibat dalam insiden bersama pelumba wildcard Aprilia, Lorenzo Savadori ketika Tissot Sprint di Jerez.
Pelumba Prima Pramac Yamaha MotoGP itu didapati menjadi punca kemalangan yang menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh, sekali gus memaksa beliau menjalani penalti pada hari perlumbaan.
Razgatlioglu bukan satu-satunya pelumba yang berdepan hukuman, apabila Joan Mir dari Honda HRC Castrol turut dikenakan penalti Double Long Lap, susulan insiden dalam sesi latihan 2 (FP2) di Grand Prix Sepanyol.
Mir terjatuh dalam keadaan litar basah sebelum kembali ke litar dengan jentera yang mengalami kerosakan. Namun, apabila ditunjukkan bendera hitam dengan bulatan oren, beliau gagal meninggalkan litar serta-merta seperti yang ditetapkan dalam peraturan.
Akibat tidak mematuhi arahan bendera tersebut, beliau dikenakan penalti Double Long Lap yang hanya akan dilaksanakan dalam perlumbaan utama Grand Prix, dan bukan dalam perlumbaan Tissot Sprint.Manakala Jorge Martin dari Aprilia Racing pula, sebelum ini sudah menerima penalti tiga petak grid.
Dalam masa sama, tumpuan turut terarah kepada aksi luar biasa Marc Marquez yang mencuri perhatian pada aksi Sabtu selepas berjaya meraih Juara Sprint. Pelumba Ducati Lenovo Team itu membuat keputusan pantas memasuki pitlane selepas terjatuh ketika perlumbaan Sprint untuk menukar jentera. Beliau kemudian kembali ke litar dan seterusnya merampas semula kedudukan pendahulu untuk memenangi perlumbaan.
Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan, namun pihak FIM MotoGP Stewards mengesahkan bahawa Marquez tidak melanggar sebarang peraturan. Beliau memasuki pitlane mengikut prosedur yang sah, tidak mengabaikan arahan marshal, serta tidak memperoleh kelebihan tidak adil dengan memotong laluan. Jentera beliau juga masih berfungsi, membolehkannya kembali ke perlumbaan secara sah.


