Peningkatan ketara terus dibuktikan Tommy Bridewell dalam musim sulungnya sebagai pelumba sepenuh masa WorldSBK apabila mencatat keputusan terbaik karier bersama pasukan baharu Superbike Advocates pada pusingan Czech di Autodrom Most.
Juara BSB 2023 itu sebelum ini lebih dikenali sebagai pelumba wildcard, ujian dan gantian sejak debut WorldSBK pada 2008, namun musim 2026 menjadi titik perubahan apabila beliau akhirnya memperoleh tempat tetap di grid.
Bersama jentera Ducati Panigale V4R, Bridewell memulakan hujung minggu dengan keputusan tempat ke-13 dalam Perlumbaan 1 selepas bermula dari petak ke-16, sekali gus menghadiahkan mata penting buat pasukan yang baru menyertai WorldSBK musim ini.
Prestasi terbaiknya hadir dalam Superpole Race apabila beliau mempamerkan pace konsisten untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelapan keputusan terbaik sepanjang kariernya dalam WorldSBK serta pencapaian terbaik buat pasukan Superbike Advocates.
Bridewell turut berjaya mempertahankan kedudukannya daripada tekanan beberapa pelumba ternama termasuk Axel Bassani, Alex Lowes, Michael van der Mark dan Sam Lowes.
“Saya rasa sangat gembira. Ini bukti kerja keras pasukan Superbike Advocates dan sokongan Ducati,” katanya.
“Saya tahu bermula dari petak ke-15 bukan sesuatu yang mudah, tetapi kami percaya ada potensi untuk berada dalam kelompok sembilan terbaik jika semuanya berjalan lancar, dan itulah yang berlaku.”
Dalam Perlumbaan 2, Bridewell sekali lagi menunjukkan konsistensi apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 walaupun berdepan tekanan sengit sepanjang perlumbaan.
Menurut pelumba Britain itu, perlumbaan di WorldSBK jauh lebih mencabar dari segi mental dan fizikal, namun beliau mula menikmati perkembangan positif bersama pasukan baharu tersebut.
“Setiap sesi kami analisis secara terperinci. Kami melihat semua data Ducati untuk memahami di mana kami kehilangan masa dan di mana kekuatan kami,” jelasnya.
Beliau turut mengakui pencapaian pasukan ketika ini sebenarnya jauh melebihi sasaran awal musim.
“Kami tidak menjangka mampu bersaing dalam kelompok lapan atau 10 terbaik secepat ini. Tetapi sebagai pelumba, anda sentiasa mahu pergi lebih jauh,” katanya lagi.
Bridewell kini semakin konsisten meraih mata dan dilihat mampu menjadi pencabar tetap kelompok 10 terbaik menjelang baki musim WorldSBK 2026.


