Pertemuan awal antara dua pihak difahamkan berlaku di Pusat Dagangan Seremban 2 baru-baru ini antara dua pemain industri permotoran negara dan industri minyak negara.
Pihak TKKR Racing Team diwakili oleh pemilik pasukan, Bobbie Farid Shamsudin dan pihak PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Mohd Zameer Zahur Hussain.
Rentetan daripada kenyataan pasukan TKKR sebelum ini dilaman Facebook pada 1 September 2021, TKKR memahami syarikat seperti PETRONAS memerlukan pulangan semula daripada pelaburan atau return on investment (ROI).
PETRONAS sebelum ini telah menaja pelbagai pasukan, organisasi, syarikat dan pihak terkait dengan industri minyak dalam dan luar negara serta mendapat pengiktirafan tertinggi melalui pencapaian pelbagai bidang utama termasuk sukan permotoran dan tenaga boleh baru namun tidak berfungsi sebagai pengedar.
Zameer Zahur yang dilantik memegang jawatan selaku CEO dalam PETRONAS Lubricants pada Mac 2023 pasti mempunyai visi tersendiri dalam memastikan keutungan kepada syarikat minyak negara.
Zameer Zahur yang mempunyai pengalaman melebihi 17 tahun bersama PETRONAS dalam sektor minyak dan tenaga sebelum dilantik sebagai CEO. Pencapaian terbaik beliau antaranya Projek C2 pengoptimuman Molekul melalui kerjasama intensif ‘upstream’ dan ‘midstream’ yang menyumbang kepada pencapaian pengeluaran tertinggi pada tahun 2016 (isipadu tambahan 700k tan metrik).
PETRONAS terkenal dengan strategi pemasaran melalui elemen 4Ps (Product, Price, Place, Promotion). PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Lub Dagangan Sdn. Bhd.) juga merupakan anak syarikat milik penuh PETRONAS Dagangan Bhd yang menjalankan penjualan, Pemasaran, Pengedaran dan Perkhidmatan Teknikal yang berkaitan dengan produk pelincir PETRONAS di Malaysia.
TKKR mempunyai pencapaian yang turut membanggakan negara dengan pencapaian Juara Keseluruhan Pasukan dalam FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) kategori Asia Superbike 1000cc 2023, Juara Keseluruhan Pasukan dalam FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) kategori Underbone 150cc pada tahun 2019, 2022, 2023. Pengalaman TKKR dalam Moto2 dan Junior GP (dahulunya dikenali sebagai CEV) pasti menarik minat pihak seperti PETRONAS.
Kerjasama antara TKKR dan PETRONAS Lubricants mungkin melebihi dari kerjasama pengedaran dalam negara malah berpeluang menjalin kerjasama dengan PETRONAS Motorsports untuk tempoh jangka masa yang panjang serta perkongsian teknologi dari litar.