Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Azhan Shafriman Hanif, memaklumkan bahawa tiada perbincangan untuk menjadikan Sepang sebagai lokasi pusingan akhir MotoGP buat masa ini.
Berhubung pembatalan pusingan MotoGP di GP Valencia akibat tragedi banjir, Shafriman menyatakan, “Saya ingin mengucapkan takziah kepada semua yang terkesan di Valencia susulan tragedi banjir baru-baru ini. DORNA juga mempertimbangkan sensitiviti tragedi ini untuk menilai sama ada perlumbaan boleh diteruskan. Melihat kepada kerosakan yang berlaku, memang ia sangat serius, dan mereka telah mengumumkan pembatalan GP Valencia. Walau bagaimanapun, lokasi pusingan akhir masih dalam perbincangan.”
Beliau turut menambah bahawa, “Mereka boleh mengadakan perlumbaan di sini (Sepang), tetapi dari segi teknikal, tayar yang dihasilkan untuk setiap litar adalah berbeza. Untuk mereka menghasilkan tayar baharu dan menghantarnya semula ke sini, ia mengambil masa sebulan – dua minggu untuk pembuatan dan dua minggu lagi untuk penghantaran.”
Mengenai kemungkinan perlumbaan diadakan, Shafriman berkata, “Jika ia dilaksanakan pun mungkin pada bulan Disember, tetapi setakat ini tiada perbincangan bersama pihak Dorna untuk menjadikan Sepang sebagai lokasi pusingan akhir. Mereka mungkin sedang mempertimbangkan litar lain, sama ada di Eropah atau di luar Eropah. Jika Sepang dipilih, kami sentiasa bersedia.”
Azhan Shafriman turut menyatakan harapannya agar Juara Dunia dapat ditabalkan di Sepang. Kali terakhir gelaran MotoGP diraikan di Malaysia ialah 15 tahun yang lalu bersama Valentino Rossi pada tahun 2009. Jorge Martin kini mendahului 29 mata dari Pecco Bagnaia dan hanya perlu meraih 9 mata di hadapan Pecco Bagnaia esok untuk dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP 2024.