Sudah 33 Tahun Menghilang, GP Afrika Selatan Berpotensi Untuk ‘Comeback’

Formula 1 mungkin akhirnya kembali ke benua Afrika selepas lebih tiga dekad, namun buat masa ini semuanya masih di peringkat spekulasi.

Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak laporan menyebut Afrika Selatan sebagai calon utama untuk menjadi tuan rumah Grand Prix Formula 1 menerusi Litar Kyalami. Walaupun belum ada pengumuman rasmi daripada F1 atau FIA, beberapa perkembangan terbaru memberi harapan kepada peminat sukan permotoran di benua tersebut.

Pada 2025, FIA telah meluluskan pelan naik taraf Litar Kyalami kepada status Gred 1, iaitu pensijilan yang diwajibkan untuk menganjurkan perlumbaan F1. Menariknya, laluan litar sepanjang 4.52 km itu tidak banyak berubah kerana naik taraf lebih tertumpu kepada kawasan keselamatan seperti run-off, penghadang dan sistem saliran untuk mencapai standard antarabangsa.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, turut dilaporkan menyokong bidaan negara itu, manakala pihak kerajaan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi meyakinkan Formula 1 untuk kembali ke Afrika.

Walaupun perkembangan tersebut dilihat positif, F1 masih belum mengumumkan sebarang perlumbaan di Afrika Selatan. Malahan, slot penganjuran F1 juga sangat terhad sehingga tahun 2028. Ini bermakna Afrika Selatan masih perlu bersaing dengan beberapa calon lain sebelum benar-benar memperoleh tempat dalam kalendar F1.

Perlumbaan Terakhir Pada Tahun 1993

Grand Prix Afrika Selatan kali terakhir berlangsung pada 14 Mac 1993 di Litar Kyalami sebelum menghilang daripada kalendar F1. Perlumbaan sepanjang 72 pusingan itu dimenangi oleh Alain Prost yang memandu jentera Williams-Renault, diikuti oleh Ayrton Senna dan Mark Blundell yang melengkapkan podium di tempat kedua dan ketiga.

Buat masa ini, peminat hanya boleh menunggu pengumuman rasmi daripada Formula 1. Dengan usaha menaik taraf Kyalami dan sokongan kerajaan Afrika Selatan, desas-desus mengenai kepulangan GP Afrika Selatan bukan lagi sekadar khabar angin kosong, cuma belum cukup untuk dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related