Pelumba IDEMITSU Honda LCR, Somkiat Chantra, menamatkan sesi ujian Shakedown di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), Malaysia semalam dengan prestasi yang konsisten.
Fokus utamanya dalam sesi ini adalah untuk membiasakan dirinya dengan jentera Honda dalam kategori MotoGP. Pelumba muda dari Thailand itu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, menandakan kesiapannya bagi ujian rasmi minggu depan di litar yang sama.
Ujian tersebut turut memberikan peluang berharga buat Chantra untuk terus belajar, menyesuaikan diri dengan jentera baharunya, serta mengumpul data penting bagi menilai dan memperbaiki prestasi.

Sesi ujian yang akan datang di Sepang dan Buriram dijangka menjadi penentu utama buatnya dan pasukan dalam usaha melakukan penambahbaikan sebelum bermulanya musim perlumbaan 2025.
“Ini adalah sesi ujian yang sangat intensif. Saya berusaha sedaya upaya menyesuaikan diri dengan jentera ini dari pelbagai aspek kerana segalanya masih baharu dan berbeza buat saya. Salah satu cabaran terbesar saya adalah aspek membrek, yang masih perlu saya perbaiki.
“Sesi ujian seterusnya sangat penting bagi saya untuk terus menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi. Langkah demi langkah, saya semakin memahami apa yang perlu dilakukan, dan saya berpeluang bertanya serta belajar daripada pelumba Honda lain, yang sangat membantu,” kata Chantra dalam satu kenyataan.
Dengan berakhirnya sesi shakedown ini, Chantra kini bersedia untuk menghadapi ujian rasmi yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 7 Februari di Sepang sebelum membuka tirai musim di Buriram, Thailand, tidak lama lagi.


