Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PETRONAS SIC) menetapkan sasaran kehadiran 200,000 penonton bagi Grand Prix PETRONAS Malaysia 2025 (MotoGPTM Malaysia) yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Majlis pelancaran rasmi MotoGPTM Malaysia 2025 yang diadakan di TRX City Park, Kuala Lumpur pada malam Selasa itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dengan dihadiri para penaja, rakan industri dan wakil media.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif, optimis acara kali ini akan terus mengukuhkan kedudukan MotoGPTM Malaysia sebagai antara penganjuran sukan terbesar di rantau ini, dengan menawarkan pelbagai kelainan bagi meningkatkan pengalaman peminat.
“Pada 2024, kita merekodkan 184,923 penonton dan tahun ini kita menyasarkan 200,000 penonton. Setakat ini, 75% kapasiti tiket telah habis dijual. Tahun ini juga kita memperkenalkan pembaharuan menarik, termasuk festival muzik elektronik (EDM) pra-perlumbaan buat pertama kali.
“Selain itu, RM1 daripada setiap tiket akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong Program Pembangunan Sukan Permotoran, selaras dengan komitmen kami untuk melahirkan bakat baharu sambil memberikan pengalaman bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, YB Hannah Yeoh menegaskan bahawa MotoGP Malaysia bukan sekadar acara perlumbaan, sebaliknya merupakan aset strategik negara.

“Selama lebih tiga dekad, MotoGPTM Malaysia merancakkan pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan menyokong pembangunan belia. Melalui inisiatif seperti Tiket Rahmah dan Rakan Muda,Rakan Litar, kita memastikan sukan permotoran kekal mudah diakses, inklusif, dan mampan.
“Dengan pulangan pelaburan 6.3 kali ganda serta impak ekonomi melebihi RM329 juta, acara ini terus memberikan manfaat besar kepada ekonomi dan masyarakat. Ia juga menjadi platform melahirkan juara masa depan seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan, yang membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.
Perlumbaan kali ini turut menandakan 34 tahun penyertaan Malaysia dalam kalendar MotoGPTM dunia, selain menjadi edisi ke-26 di PETRONAS SIC sekaligus menjadikannya acara sukan antarabangsa paling lama dianjurkan di negara ini.
Selaras dengan agenda Malaysia MADANI, PETRONAS SIC meneruskan inisiatif Tiket Rahmah dengan menawarkan tiket K2 Hillstand pada harga RM49.90 bagi memastikan sukan permotoran kekal mampu dinikmati semua lapisan masyarakat. Bersempena pelancaran ini, promosi ‘Beli 1 Percuma 1’ untuk Tiket Rahmah ditawarkan selama 24 jam sahaja, bermula jam 12 tengah hari pada 12 Ogos.
Baca juga:


