KBS mohon dana tambahan bagi membantu sukan permotoran negara

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan daripada Kementerian Kewangan bagi membantu perkembangan sukan permotoran negara, khususnya dalam usaha menyokong pelumba tempatan seperti Hakim Danish Ramli.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihaknya turut berharap agar syarikat korporat tampil memberikan sokongan, terutamanya dari segi kewangan, bagi memastikan pelumba berbakat seperti Hakim Danish terus menyerlah di pentas tempatan dan antarabangsa.

“Seperti semua maklum, sukan permotoran bukanlah sukan yang murah, malah memerlukan pelaburan jangka panjang. Jadi, doakan kami berjaya mendapatkan peruntukan tambahan untuk Hakim Danish.

Beliau berkata demikian berkenaan laporan yang mengatakan pelumba berusia 18 tahun itu memerlukan dana besar untuk bersaing pada musim ini, termasuk peluang beraksi sebagai pelumba ‘wild card’ dalam perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang.

Sementara itu, mengulas mengenai kontrak penganjuran MotoGP Malaysia yang dijangka tamat tahun depan, Hannah menegaskan bahawa KBS sentiasa menyokong penganjuran acara berprestij itu dan komited memastikan perlumbaan kekal di Sepang.

“Setiap kali ada lanjutan kontrak, pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan membuat permohonan kepada kerajaan, dan kami akan menyediakan kertas kabinet. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan.

“Tetapi saya tahu kerajaan sangat menyokong penganjuran MotoGP, terutama kerana ia membawa ramai pengunjung ke SIC,” katanya ketika majlis pelancaran MotoGP Malaysia semalam.

Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif, turut berharap penganjuran MotoGP Malaysia dapat diteruskan dengan sokongan padu daripada KBS. Beliau menegaskan bahawa nilai pulangan pelaburan (ROI) yang tinggi pada tahun lalu menjadi faktor terkuat untuk mengekalkan perlumbaan berprestij itu di Malaysia.

“Jika dibandingkan dengan Formula 1, keuntungan yang kita raih adalah 6.3 kali ganda daripada jumlah pelaburan yang dibuat. Saya berharap kita tidak mengulangi kesilapan lalu apabila melepaskan hak penganjuran Formula 1, kerana untuk mendapatkan semula peluang itu amatlah sukar. Jadi, saya harap perkara sama tidak berlaku kepada MotoGP,” katanya.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related