MILAN, 7 September 2026 – Eni dan PETRONAS memperkukuh kerjasama dalam usaha membangunkan bahan api lebih mampan apabila kedua-dua syarikat menandatangani Feasibility Agreement (FA) untuk menilai potensi pembangunan bio-gasolin berprestasi tinggi dan berskala komersial.
Perjanjian tersebut ditandatangani sempena Formula 1 Grand Prix Itali 2026, dengan kajian berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan bio-gasolin berasaskan bahan mentah boleh diperbaharui melalui teknologi Ecofining™ milik Eni.
Kajian itu akan menilai aspek teknikal, pasaran, kelestarian serta tahap prestasi bio-gasolin baharu yang berpotensi digunakan dalam perlumbaan motorsport sebelum dikembangkan kepada produk komersial. Kerjasama ini menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam teknologi bahan api.
Eni membawa pengalaman dalam penyelesaian tenaga mampan serta pengeluaran bahan api daripada bahan mentah boleh diperbaharui, termasuk HVO diesel dan bahan api penerbangan mampan (SAF), manakala PETRONAS menyumbangkan kepakaran dalam teknologi bahan api berprestasi tinggi dan pembangunan bahan api mampan untuk enjin pembakaran.
Motorsport sebagai medan uji kaji
Apa yang menarik, motorsport berpotensi menjadi salah satu platform penting dalam pembangunan teknologi ini.
Bio-gasolin yang mampu memenuhi keperluan prestasi tinggi perlumbaan boleh menjadi langkah awal sebelum teknologi tersebut dinilai untuk aplikasi komersial yang lebih meluas.
Perkembangan ini juga selari dengan usaha industri automotif dan motorsport untuk mengurangkan pelepasan karbon tanpa meninggalkan penggunaan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya.
Kerjasama Eni-PETRONAS semakin berkembang
Kerjasama kedua-dua syarikat bukan perkara baharu.
Eni dan PETRONAS sebelum ini menubuhkan Searah, sebuah usaha sama 50:50 yang menggabungkan operasi utama di Indonesia dan Malaysia, termasuk portfolio 19 aset pengeluaran serta pembangunan gas.
PETRONAS juga bersama Enilive dan Euglena menubuhkan Pengerang Biorefinery Sdn. Bhd., yang sedang membangunkan loji biopenapisan di Pengerang, Johor.
Kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028 dengan keupayaan memproses sehingga 650,000 tan bahan mentah boleh diperbaharui setahun untuk menghasilkan SAF, HVO diesel dan bio-nafta.
Dengan perkembangan ini, kerjasama Eni dan PETRONAS bukan sekadar tertumpu kepada bahan api untuk motorsport, tetapi berpotensi menjadi sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membangunkan generasi baharu bahan api mampan bagi sektor pengangkutan.


