Siapa bakal galas gelaran Juara Dunia Moto2 ?

Daniel Holgado (CFMOTO Inde Aspar Team) sekali lagi membuktikan ketangkasannya apabila merangkul petak pole keempat musim ini dalam sesi kelayakan Moto2 di Valencia dengan sekali lagi mencatat rekod baharu, semalam.

Dua pencabar kejuaraan, Diogo Moreira dan Manuel Gonzalez, pula bakal memulakan perlumbaan penentu gelaran dari barisan kedua dan ketiga.

Moreira (Italtrans Racing Team), yang memasuki hujung minggu ini dengan kelebihan 24 mata, berjaya melepasi saingan kelayakan (Q1) untuk ke sesi perebutan pole. Walaupun hanya menamatkan saingan kelayakan Q2 di Petak 9, keputusan itu dilihat masih positif memandangkan dia berdepan risiko tersingkir lebih awal. Pelumba Brazil itu kini perlu kekal konsisten pada aksi hari ini untuk mempertahankan kejuaraan.

Pesaing terdekatnya, Manuel Gonzalez (Liqui Moly Dynavolt Intact GP), bakal memulakan perlumbaan dari Petak 5 dan wajib menang untuk membuka peluang menjulang gelaran dunia. Pelumba Sepanyol itu berada di pertengahan barisan kedua, memberi ruang untuk memburu kelompok hadapan seawal pusingan pertama.

Di hadapannya, Holgado, yang bermula dari petak utama, akan ditemani oleh Izan Guevara (BLUCRU Pramac Yamaha Moto2) dan rakan sepasukan Gonzalez, Senna Agius, yang turut merebut tempat di barisan depan. Albert Arenas (ITALJET Gresini Moto2) pula mengetuai barisan kedua di Petak 4 dalam perlumbaan terakhirnya di kelas Moto2.

Alex Escrig (KLINT Forward Factory Team) melengkapkan Petak 6 selepas satu persembahan cemerlang, manakala Moreira akan bermula di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo, Collin Veijer dan Daniel Muñoz, yang menutup barisan ketiga.

Dengan kedudukan grid kini rasmi, semua tumpuan terarah kepada perlumbaan penentu pada hari ini. Adakah Moreira bakal mempertahankan kejuaraan, atau Gonzalez akan bangkit mencipta kejutan? Saksikan perlumbaan akhir Moto2 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 7:15 malam ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related