Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif mengharapkan Grand Prix Of Malaysia 2024 dapat menjadi medan saksi bagi perebutan Juara Dunia MotoGP dalam perlumbaan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Beliau berkata, pertembungan antara Pelumba Prima Pramac, Jorge Martin dan Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia yang sudah pasti menjadi tumpuan penonton yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang pada 1 hingga 3 November ini dapat mencipta sejarah setelah sekian lama.
“Saya mengharapkan dapat menyaksikan Juara MotoGP dinobatkan di Litar Sepang kerana kali terakhir adalah pada tahun yang saya juga tidak berapa pasti. Sama ada Valentino Rossi ataupun Marque Marquez tidak silap saya, saya kena mengenal pasti semula fakta itu.
“Dari segi perbezaan mata ketika ini, sekarang lebih kurang 17 mata perbezaan antara Jorge Martin dan Francesco Bagnaia tetapi nanti kita juga harus lihat bagaimana prestasi mereka mahupun aksi yang ditampilkan oleh kedua-dua pelumba itu dalam sprint race dan juga main race nanti.
“Hasrat saya adalah kedua-dua pelumba dapat kekal di atas jentera mereka dan saya sangat berharap dapat menyaksikan juara MotoGP dinobatkan di Litar Sepang nanti.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai pelumba-pelumba tempatan yang bakal menyertai dalam kejohanan itu dan berhasrat pelumba negara dapat memberikan saingan yang terbaik kepada pelumba sepenuh masa (full season rider).
![](https://tarmacsports.net/wp-content/uploads/2024/10/WhatsApp-Image-2024-10-30-at-6.10.02-PM-1-1024x768.jpeg)
“Saya turut mengharapkan pelumba tempatan kita dapat pamerkan aksi terbaik, seperti KIP kita tahu dia memang pelumba yang berkebolehan dan Helmi yang juga pernah menyertai dalam perlumbaan tahun lepas, tahun ini turut diberikan peluang untuk menyertai perlumbaan dengan wild card.
“Hasrat saya, mereka dapat berikan yang terbaik dan saya tahu dalam kategori Moto2 ni sangat mencabar dan harap-harap mereka dapat memberikan saingan yang terbaik la kepada full season rider,” katanya ketika ditemu bual media.
Edisi Ke-25 Petronas Grand Prix Of Malaysia akan secara rasmi membuka tirai bermula 1 November 2024 dan akan berlangsung di SIC selama 3 hari selaku pusingan ke-20 dalam Kalendar MotoGP.
Pada edisi lepas, SIC berjaya menyaksikan kehadiran seramai 182,912 penonton dengan Enea Bastianini muncul sebagai juara dan Pasukan Ducati turut menguasai musim tersebut dengan meraih gelaran Juara Dunia Pasukan, Juara Dunia Pembina, dan Juara Dunia Pelumba.