Dunia permotoran dikejutkan apabila Formula 1 secara rasmi mengumumkan kepulangannya ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun tidak berada dalam kalendar perlumbaan. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah F1 adalah pada tahun 2017 dan sejak itu, pelbagai perubahan besar telah berlaku dalam sukan paling berprestij ini.
Berikut lima perubahan yang berlaku sepanjang ketiadaan Sepang daripada kalendar F1.
1. Halo yang Dahulu Dikritik, Kini Penyelamat Nyawa
Salah satu perubahan paling ketara ialah pengenalan kepada sistem keselamatan Halo pada musim 2018. Pada mulanya sistem ini menerima pelbagai kritikan kerana reka bentuknya tetapi Halo kini terbukti menjadi antara inovasi keselamatan yang penting dalam sejarah F1 selepas berjaya menyelamatkan nyawa beberapa pelumba dalam insiden serius.
2. Hamilton dan Verstappen Terus Mencipta Sejarah
Sejak F1 meninggalkan Sepang, Lewis Hamilton berjaya menambah empat lagi gelaran Kejuaraan Dunia Pelumba, sekali gus menyamai rekod tujuh kejuaraan milik Michael Schumacher. Dalam tempoh yang sama, Max Verstappen pula muncul sebagai kuasa baharu F1 dengan meraih empat kejuaraan dunia berturut-turut dan mendominasi era moden sukan itu.
3. Hanya Sepuluh Pelumba Grid Semasa Pernah Berlumba Di Sepang
Daripada barisan pelumba F1 hari ini, hanya Fernando Alonso, Lewis Hamilton, Nico Hulkenberg, Sergio Perez, Valtteri Bottas, Esteban Ocon, Carlos Sainz, Pierre Gasly, Lance Stroll dan Max Verstappen pernah merasai pengalaman berlumba di Litar Sepang. Bagi pelumba generasi baharu, kepulangan ke Malaysia bakal menjadi pengalaman pertama mereka di litar ikonik itu.
4. Sprint Race Kini Menambah Aksi Hujung Minggu
F1 juga telah memperkenalkan Sprint Race, iaitu perlumbaan pendek yang menawarkan mata tambahan pada hujung minggu terpilih. Format baharu ini menjadikan setiap hari perlumbaan lebih menarik dan memberi lebih banyak aksi kepada peminat.
5. Malaysia Sudah Bertukar Empat Perdana Menteri
Bukan sahaja F1 berubah, malah Malaysia juga melalui pelbagai perubahan sepanjang tempoh itu. Sejak Grand Prix Malaysia terakhir pada 2017, negara telah menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri, menunjukkan betapa lamanya Sepang tidak menjadi sebahagian daripada kalendar F1.
Kepulangan F1 ke Litar Sepang bukan sekadar mengembalikan sebuah perlumbaan, malah membuka lembaran baharu buat peminat sukan permotoran di Malaysia. Selepas hampir sedekad, Formula 1 hadir dengan teknologi yang lebih canggih, format perlumbaan yang lebih menarik serta generasi pelumba baharu yang bersedia mencipta sejarah di Sepang sekali lagi.


