Sorakan gemuruh di Litar Phillip Island menyambut detik bersejarah apabila Senna Agius (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) muncul sebagai rider Australia pertama dalam sejarah Moto2 yang berjaya menjuarai Grand Prix di tanah air sendiri.
Pelumba muda berusia 19 tahun itu tampil dengan tunggangan penuh bergaya, menamatkan perlumbaan di hadapan David Alonso (CFMOTO Power Electronics Aspar Team) dan Diogo Moreira (Italtrans Racing Team).
Lebih manis, kemenangan ini hadir tepat setahun selepas Agius menaiki podium pertamanya dalam Kejuaraan Dunia. Dengan kemenangan bergaya itu, nama Agius kini berada sebaris dengan legenda Australia seperti Casey Stoner, Mick Doohan, Wayne Gardner, Jack Miller, dan Garry McCoy yang semuanya pernah menjulang kemenangan di halaman sendiri.
Sorotan perlumbaan Moto2
Sejak lampu hijau dinyalakan, Agius memulakan perlumbaan dengan cemerlang terus meluru ke depan di Selekoh 1 untuk mengetuai pusingan pembukaan di hadapan pelumba petak utama, Moreira, dan pendahulu kejuaraan, Manuel Gonzalez. Alonso dan Ayumu Sasaki turut berada dalam kelompok hadapan, menjanjikan saingan sengit.
Pada pusingan ketiga, Agius sedikit terbabas di Selekoh 1 namun masih berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu. Di belakangnya, Gonzalez dan Alonso saling bertukar posisi sebelum Moreira kembali menyerang untuk merebut tempat kedua.
Memasuki pusingan kelapan, Alonso berjaya memintas Gonzalez untuk tempat kedua, namun Moreira kembali mencuri posisi tersebut tidak lama kemudian. Ketika pelumba-pelumba lain sibuk berentap antara satu sama lain, Agius semakin jauh meninggalkan mereka dengan kelebihan lebih dua saat di hadapan menjelang separuh perlumbaan.
Pusingan demi pusingan, Agius kekal konsisten tanpa sebarang kesilapan. Di belakangnya, perebutan podium menjadi semakin panas apabila Moreira, Gonzalez, Alonso, dan Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team) berentap sengit untuk posisi kedua hingga kelima.
Dengan enam pusingan berbaki, Alonso berjaya memintas Gonzalez dan Moreira untuk mengambil tempat kedua. Gonzalez mula kehilangan cengkaman dan terjatuh ke kedudukan kelima selepas disaingi Daniel Holgado (CFMOTO Power Electronics Aspar Team) dan Barry Baltus (Fantic Racing).
Lebih malang buat Gonzalez, kesilapan kecil menyebabkan beliau kehilangan lagi satu mata penting kepada Baltus di penghujung perlumbaan sekali gus mengurangkan kelebihannya kepada hanya dua mata di tangga kejuaraan dunia.
Ketika semua drama berlaku di belakang, Agius terus fokus di depan dan menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya menjadi rakyat Australia pertama yang memenangi perlumbaan Moto2 di bumi sendiri. Alonso mengekalkan tempat kedua, manakala Moreira melengkapkan podium di tempat ketiga dan berjaya merapatkan jurang kejuaraan kepada Gonzalez.
Holgado menamatkan saingan di tempat keempat diikuti Dixon, sementara Baltus, Gonzalez, Albert Arenas, Aron Canet dan Sasaki melengkapkan 10 pelumba terbaik.
Keputusan Rasmi Moto2 Grand Prix Australia 2025
- Senna Agius (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) 🇦🇺
- David Alonso (CFMOTO Power Electronics Aspar Team) 🇨🇴
- Diogo Moreira (Italtrans Racing Team) 🇧🇷
- Daniel Holgado (CFMOTO Power Electronics Aspar Team) 🇪🇸
- Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team) 🇬🇧
- Barry Baltus (Fantic Racing) 🇧🇪
- Manuel Gonzalez (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) 🇪🇸
- Albert Arenas (ITALJET Gresini Moto2) 🇪🇸
- Aron Canet (Fantic Racing) 🇪🇸
- Ayumu Sasaki (RW-Idrofoglia Racing GP) 🇯🇵
Dengan hanya dua mata memisahkan Gonzalez dan Moreira dalam carta kejuaraan, perebutan gelaran Moto2 2025 kini semakin sengit. Meskipun perlumbaan MotoGP yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) tidak dapat menyaksikan Marc Marquez, pelumba utama pada musim ini turun di litar namun aksi pada hujung minggu ini dijangka kekal menjadi tumpuan utama terutama bagi kategori Moto2.
Baca juga:


