Pasukan Ducati Lenovo menutup tirai dengan kemenangan gemilang apabila Francesco Bagnaia memenangi perlumbaan akhir 24 pusingan di Litar de Barcelona-Catalunya, Ahad lalu.
Bermula dari petak pertama, tiada yang mampu menghalang Bagnaia untuk kekal mendominasi perlumbaan hingga ke garisan penamat bersama jentera Desmosedici GP24 sekali gus mencatatkan kemenangan ke-11 nya dalam musim ini.
Meskipun, Pecco sedikit kecewa tidak mampu mengubah kedudukan keseluruhan dan mempertahankan gelarannya dalam merangkul trofi juara dunia 2024 apabila ketinggalan 10 mata di belakang pelumba Prima Pramac Racing Jorge Martin.
“Kami tahu dari awal ianya akan menjadi sukar untuk mengubah keadaan, namun kami tetap harus melakukan apa yang perlu dilakukan. Saya mengakui, Jorge melakukan tugas yang baik dan hari ini adalah miliknya. Dia benar-benar membuktikan bahawa beliau merupakan pelumba yang luar biasa. Kami telah membuktikan kemampuan kami tahun ini, dengan keputusan dan mata yang diperolehi kami.
“Di masa depan, kami pasti perlu mengurangkan kesilapan dan DNF (tidak menamatkan perlumbaan), yang sememangnya sebahagian daripada sukan ini. Setiap musim adalah penting, dan tiada salahnya jika kami tidak berjaya menang, tahun 2024 tetap menjadi tahun yang penuh dengan kepuasan, walaupun hasil di penghujung tidak seperti yang diharapkan. Kami akan mencuba lagi pada tahun depan.”
Dalam pada itu, rakan sepasukannya Enea Bastianini juga mempamerkan aksi memberangsangkan apabila bermula dari barisan ketiga dan mara ke tempat keempat. Namun, insiden yang berlaku di selekoh ketika pusingan kelapan menyebabkan dia kehilangan beberapa posisi, sebelum menamatkan di tempat ke-7.
Pasukan Ducati Lenovo kembali ke litar semula di Montmeló untuk ujian rasmi pertama musim 2025 dengan kehadiran pelumba baru dalam pasukan, Marc Márquez yang menjanjikan musim yang penuh aksi untuk peminat MotoGP di tahun hadapan.