Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

“Saya Simpan Hasrat Kembali Memenangi Jersi Bukit.” – Aiman Zariff

LANGKAWI, 27 Sept – Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff mengintai peluang menyambar gelaran Raja Bukit buat kali ketiga pada perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang bakal berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober ini.

Begitupun, Aiman menyedari misinya dalam memburu Jersi Polka Dot (Raja Bukit) pada LTdL edisi ke-28 tahun ini bukan mudah memandangkan beberapa pelumba pilihan turut mencongak peluang yang sama.


“Ya sudah tentu saya ada menyimpan hasrat untuk kembali memegang status sebagai Raja Bukit pada perlumbaan LTdL kali ini selepas terlepas peluang mempertahankannya tahun lalu.”

“Tetapi saya harus akui sasaran untuk memenangi gelaran Raja Bukit bukannya senang. Semua itu bergantung kepada strategi dan kondisi tubuh badan pada hari perlumbaan itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, Aiman memenangi gelaran Raja Bukit buat kali pertama dalam kariernya di pentas LTdL ketika bersama Team Sapura Cycling (TSC) yang kini dikenali sebagai Malaysia Pro Cycling Team (MPC).

Selepas LTdL tidak diadakan pada 2021 akibat Covid-19, pelumba kelahiran Setiu, Terengganu itu berjaya mempertahankan Jersi Polka Dot LTdL 2022 yang ketika itu menyaksikan dia mewakili TSG.

Begitupun, Aiman terpaksa akur terlepas Jersi Polka Dot pada edisi 2023 selepas dirampas pelumba pasukan Pro Team yang berpangkalan di Switzerland, Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud.

Bagi edisi tahun ini, Aiman sekali lagi dijangka menerima saingan sengit Pellaud selepas Tudor mengesahkan pelumba kelahiran Locarno, Switzerland berusia 31 tahun itu turun berada dalam senarai pasukan.

Terengganu Cycling Team (TSG). Gambar oleh Sharon Jane


“Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, bukan mudah untuk memenangi perlumbaan termasuklah meraih mana-mana jersi. Setiap pelumba akan memberikan aksi 100 peratus dalam perlumbaan.”

“Jadi kadangkala semua itu juga bergantung kepada rezeki, Jika ada rezeki saya… insya Allah, adalah rezeki saya nanti. Saya tidak mahu terlalu mengharap (memenangi Jersi Polka Dot).”


“Apapun saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap peringkat perlumbaan. Kita pun tahu kali ini tiada peringkat perlumbaan ke Genting Higlands, tetapi masih ada lagi banyak zon pendakian.


“Jadi saya hanya berdoa dan berharap setiap apa yang dirancang pada hari perlumbaan nanti membuahkan hasil. Selebihnya saya berserah kepada Allah,” jelas pelumba berusia 26 tahun itu.

Selain Aiman, TSG mempertaruhkan lima pelumba lain yang terdiri daripada pakar pecut, Harrif Saleh selain Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Rosli dan dua pelumba import – Andreas Miltiadis serta Anatolli Budiak.

Dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,190 kilometer (km), LTdL – perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia akan kembali menghangatkan Pulau Langkawi bagi edisi tahun ini.

Malah, LTdL 2024 akan turut menggegarkan bumi Sarawak apabila buat julung-julung kalinya bakal berlangsung di dua buah bandar – Miri dan Bintulu, masing-masing pada 5 dan 6 Oktober.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related