KUALA LUMPUR, 14 Sept – Syarikat air mineral beroksigen BUBBLES O2 sekali lagi tampil menaja jersi rebutan Raja Bukit (King of Mountain) bagi edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan membuka tirai pada 27 September hingga 4 Oktober depan.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut syarikat jenama terkenal tempatan yang menerima anugerah Superbrands 2025 itu menaja jersi polka dot hijau Raja Bukit, dan tahun keempat menjadi rakan penaja LTdL selepas menaja Anugerah Pelumba Kombatif di setiap peringkat pada edisi 2023 dan 2024. Melalui penjenamaan di LTdL, syarikat mencapai jualan yang memberangsangkan.
Pada tahun 2023, Pernas melabur sebanyak RM5 juta bagi merancakkan jualan dan pengembangan tahun 2024 dan 2025 ke pasaran domestik dan global. Syarikat Bubbles O2 menyasarkan jualan sebanyak RM22 juta untuk tahun 2025 namun berjaya mencapai rekod jualan sebanyak RM36 juta sehingga bulan Jun 2025. Angka ini menunjukkan peningkatan jualan melebihi 100% sejak 2022. Bagi tahun 2026, mereka terus menyasar jualan sebanyak RM70 juta.
Perebutan sengit jersi Raja Bukit pada edisi ke-30 kali ini, terutama di tiga penamat puncak di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands dijangka mencuri tumpuan peminat, dan Bubbles O2 bakal mendapat pendedahan dan promosi yang cukup luas.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Sofian Hamzah berkata, keputusan Bubbles O2 itu pasti dibuat selepas mereka membuat penilaian mendalam serta telah melihat sendiri keberkesanan serta pulangan terhadap tajaan mereka sebelum ini.
“LTdL akan meneruskan kesemua bentuk promosi seperti penyiaran antarabangsa, dan kali ini bersama Icarus Sports yang akan menyiarkan perlumbaan ini kepada 18 penyiar, saya pasti Bubbles O2 akan menerima nilai pulangan yang jauh lebih tinggi, terutama ketika penyarung jersi Raja Bukit sedang berkayuh atau berdiri di podium LTdL26 nanti.”
“Jersi Raja Bukit yang menjadi tumpuan tahun ini dianggap lebih unik kerana selain menguji kekuatan mutlak seorang pendaki tulen di bukit yang curam dan panjang, ia juga mengukur kebijaksanaan ‘matematiknya’ untuk mencuri mata di zon-zon pendakian kecil lain,” kata Sofian ketika berucap di majlis sidang media Penajaan Bubbles O2 LTdL26 di MSN Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2, Encik Abdul Aziz Ariffin; Timbalan Pengarah Pembangunan Sukan MSN, Sofian Hamzah; dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.
Sofian berkata, kehadiran beberapa nama besar yang diakui pendaki handalan dunia yang pernah bersaing, menang peringkat dan jersi Raja Bukit (KOM) dalam tiga jelajah Grand Tour iaitu Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana, menjadikan perebutan jersi Raja Bukit kali ini lebih sengit, menarik dan menjadi tumpuan ramai.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata keputusan syarikat itu untuk sekali lagi menjadi penaja jersi Raja Bukit diambil berdasarkan kepada keseluruhan pakej pulangan yang lengkap, khususnya peluang untuk mempromosikan jenama Bubbles O2 ke peringkat antarabangsa.
“Penyiaran televisyen antarabangsa selari dengan pelan promosi, pemasaran dan penjualan untuk menjadikan Bubbles O2 satu jenama air mineral bertaraf dunia.
“LTdL juga memberi ruang promosi domestik yang unik dan efektif kepada kami, bukan saja menerusi siaran TV di Astro Arena, Facebook dan Youtube, malah program promosi di lokasi permulaan dan penamat serta di sepanjang laluan Calvacade bersama Voice of LTdL yang disertai puluhan ribu rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan Bubbles O2 antara jenama yang semakin dikenali di negara ini,” kata Abdul Aziz.
Beliau berharap kerjasama strategik bersama MSN dalam LTdL ini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Menurutnya, selain pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands, fokus perebutan mata untuk mahkota Raja Bukit dijangka berlangsung hingga ke hari terakhir terutama di zon-zon pendakian sepanjang laluan Peringkat 6 (Pandan Indah-Rembau) dan Peringkat 8 (Muar-Putrajaya).
Secara keseluruhan, ada dua pendakian berstatus Hors Classe (HC) iaitu Cameron Highlands dan Genting Highlands yang menawarkan maksimum 25 mata; satu Kategori 1 (Gunung Jerai); satu zon Kategori 2; 4 zon Kategori 3; dan 1 zon Kategori 4 di sepanjang lapan hari perlumbaan.
Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5km.
Jelajah berstatus 2.ProSeries itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dan mendapat mendapat kerjasama penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


