Grand Prix Austria sekali lagi menyajikan drama menarik apabila Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) akhirnya berjaya menawan Litar Red Bull Ring dengan penuh bergaya. Kemenangan ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai kemenangan pertama Marquez di Spielberg, malah ia juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut musim ini, yang berlangsung bersempena dengan perlumbaan MotoGP ke-1000.
Pelumba #93 itu terpaksa berhempas-pulas sebelum menamatkan saingan di hadapan pelumba sensasi baharu, Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP), yang meraih keputusan terbaik kariernya di kelas perdana. Aldeguer menampilkan rentak luar biasa di penghujung perlumbaan untuk menewaskan Marco Bezzecchi (Aprilia Racing), yang akhirnya menamatkan saingan di tempat ketiga.
Marquez bukan sahaja merangkul kemenangan Grand Prix, malah turut mendominasi aksi Sprint pada Sabtu. Dengan kelebihan 142 mata di persada Kejuaraan Dunia, Marquez mengakui kemenangan kali ini cukup istimewa kerana berjaya mengatasi badi di Spielberg.

“Saya sangat gembira dengan aksi hujung minggu ini. Seperti saya katakan, tiada alasan. Kami menunggang dengan baik sepanjang perlumbaan. Marco memberi tekanan kuat pada awal perlumbaan, manakala Fermin hadir dengan rentak luar biasa di penghujung,” kata Marquez.
Beliau juga mengakui pertarungan sengit menentang rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia di awal perlumbaan membuatkannya perlu lebih bijak merancang strategi sebelum mengambil alih pendahuluan daripada Bezzecchi.
Namun selepas aksi GP Austria hujung minggu lalu, nama Aldeguer kini meniti di bibir peminat selepas aksi penuh berani di Austria. Pelumba muda Sepanyol itu berjaya melakukan beberapa aksi pintas menakjubkan, termasuk menewaskan Bezzecchi, sebelum menamatkan perlumbaan hanya 1.118 saat di belakang Marquez.
“Perlumbaan hari ini sungguh luar biasa, mungkin antara yang terbaik dalam hidup saya. Selepas memintas Pedro, saya rasa podium bukan sekadar impian. Saya boleh menang! Tapi bukan mudah untuk melawan Marc. Saya era baharu, saya masih muda,” kata Aldeguer sejurus selepas perlumbaan berakhir.
Dalam pada itu, Bezzecchi yang mendominasi sebahagian besar perlumbaan terpaksa akur di tangga ketiga selepas disusuli Marquez dan Aldeguer. Bagaimanapun, pelumba Itali itu kekal optimis apabila kini menduduki tangga ke-4 keseluruhan Kejuaraan Dunia.
“Kami bekerja keras selepas permulaan sukar pada Jumaat. Nasib baik, kami berjaya membuat beberapa penambahbaikan. Walaupun tewas di bahagian akhir perlumbaan, sekurang-kurangnya kami masih boleh bertarung di kelompok hadapan. Kami akan terus bekerja keras,” ujar Bezzecchi.
Sementara itu, Juara dunia bertahan, Jorge Martin (Aprilia Racing), melalui hujung minggu penuh malang apabila terjatuh pada pusingan ke-14. Bagaimanapun, Martin bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius meskipun berdepan hentakan kuat.
Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team)pula, turut berdepan masalah konsistensi apabila hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8. Keputusan ini menamatkan rekod cemerlangnya di Austria dan sekali lagi menunjukkan betapa berlikunya perjalanan Juara dunia 2023 itu musim ini.
Sebagai tuan rumah, KTM hadir dengan harapan dan impian tinggi namun gagal menempatkan diri di podium. Pedro Acosta menjadi pelumba KTM terbaik dengan menamatkan saingan di tempat ke-4, manakala Brad Binder serta Enea Bastianini masing-masing menutup aksi di kelompok lima terbaik. Maverick Viñales pula masih bergelut untuk kembali ke prestasi asal selepas kecederaan.
Carta Kejuaraan Dunia setakat GP Austria
- Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) – 298 mata
- Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) – 156 mata
- Jorge Martin (Aprilia Racing) – 149 mata
- Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) – 141 mata
- Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) – 138 mata
- Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) – 130 mata
- Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech3) – 125 mata
- Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) – 119 mata
Dengan GP Hungary yang bakal berlangsung hujung minggu ini, tumpuan kini terarah kepada sama ada Marquez mampu meneruskan rentak kemenangan, atau pelumba muda seperti Aldeguer bakal menggegarkan lagi kelas perdana dengan kejutan baharu.
Baca juga:


