RTL Deutschland terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyiar utama MotoGP di Jerman apabila secara rasmi memperoleh hak penyiaran eksklusif Kejuaraan Dunia MotoGP bagi tempoh 2027 hingga 2030.
Menerusi perjanjian baharu itu, peminat sukan permotoran di Jerman bukan sahaja boleh menyaksikan aksi MotoGP secara eksklusif di Sky Sport, malah buat pertama kali dalam sejarah, beberapa perlumbaan terpilih turut akan disiarkan menerusi televisyen percuma (free-to-air TV).
Hak penyiaran tersebut merangkumi semua perlumbaan Grand Prix MotoGP, Tissot Sprint, sesi latihan bebas dan kelayakan, yang akan disiarkan secara langsung di Sky Sport bermula musim 2027. Selain itu, kesemua perlumbaan Moto2 dan Moto3 juga kekal menjadi sebahagian daripada liputan langsung saluran berkenaan.
Perjanjian itu turut meliputi beberapa kejohanan lain di bawah naungan MotoGP, termasuk FIM Harley-Davidson Bagger World Cup, Moto4 Northern Cup serta Red Bull Rookies Cup, yang turut disertai pelumba muda Jerman berusia 16 tahun, Fynn Kratochwil.
Selain Jerman, RTL Deutschland turut melanjutkan hak penyiaran secara langsung MotoGP di Austria dan Switzerland menerusi televisyen berbayar dalam satu perjanjian jangka panjang.
Naib Presiden Kanan Hak Sukan dan Pengkomersialan RTL Deutschland, Hans Gabbe, berkata kerjasama yang diperluaskan itu akan membolehkan lebih ramai peminat mengikuti aksi MotoGP.
“Sepanjang tiga tahun lalu, pelanggan kami menikmati keseronokan MotoGP menerusi liputan langsung Sky Sport. Kami teruja untuk meneruskan dan memperluaskan kerjasama ini dengan menawarkan MotoGP secara eksklusif untuk jangka panjang. Buat pertama kalinya, perlumbaan terpilih juga akan disiarkan di televisyen percuma bagi menjangkau penonton yang lebih luas.
“Sama ada MotoGP, Formula 1, IndyCar Series atau WRC, kami menawarkan peminat sukan permotoran di Jerman siri perlumbaan terbaik dunia secara langsung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Hak Media MotoGP, Alex Arroyo, menyifatkan lanjutan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam mengembangkan lagi populariti MotoGP di Jerman.
“Melanjutkan kerjasama dengan RTL Deutschland merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan kehadiran MotoGP di Jerman. RTL Deutschland telah menjadi rakan penyiar yang cemerlang dengan sentiasa menyajikan liputan berkualiti tinggi serta membawa peminat lebih dekat dengan aksi di litar menerusi pelbagai platform.
“Perjanjian baharu ini memastikan peminat terus menikmati liputan langsung menyeluruh bagi MotoGP, Moto2 dan Moto3, selain keseluruhan ekosistem perlumbaan kami untuk beberapa tahun akan datang. Bersama Sky, kami berharap dapat terus mengembangkan jumlah penonton dan membawa keterujaan MotoGP kepada lebih ramai peminat di Jerman serta rantau ini,” katanya.
Hak penyiaran tersebut meliputi semua platform pengedaran di Jerman, Austria dan Switzerland, termasuk hak penyiaran awam di bar, restoran, hotel serta lokasi awam lain menerusi perkhidmatan Sky Business. Dengan perjanjian baharu ini, MotoGP dijangka terus memperluaskan pengaruhnya di pasaran Eropah dan menarik lebih ramai penonton menjelang era baharu perlumbaan bermula pada musim 2027.


