Red Bull KTM Factory Racing melabuhkan tirai musim MotoGP 2024 dengan persembahan cemerlang dua pelumbanya di pusingan ke-20 dan yang terakhir di Litar de Barcelona-Catalunya pada Ahad.
Meskipun dua pelumba KTM berada di petak ke-18 dan ke-19 dalam grid, Brad Binder dan Jack Miller enggan menggunakan posisi mereka sebagai penghalang untuk menampilkan prestasi cemerlang dalam aksi perlumbaan malam tadi.
Binder yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 setelah bermula dari petak ke-18 berjaya memastikan dirinya untuk berada dalam kelompok kedudukan ke-5 teratas dalam carta kejuaraan dunia MotoGP 2024.
Rakan sepasukannya, Jack Miller juga tidak berhenti berjuang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-13, selepas memanfaatkan kemampuan luar biasa jentera KTM RC16nya untuk bersaing dalam permulaan perlumbaan yang sengit, meskipun berdepan cabaran sukar dengan masalah cengkaman yang rendah di dalam litar.
“Penamat terbaik untuk musim ini dengan KTM terus maju ke hadapan. Tempat ke-6 dalam perlumbaan dan ke-5 dalam kejuaraan.Sasaran awal kami adalah berbeza tetapi kami harus berpuas hati dengan pencapaian ini. Jack yang menunjukkan kelajuan perlumbaan yang begitu baik hari ini, meskipun bermula dari kedudukan grid di belakang yang agak sukar untuk bangkit dan meraih kedudukan di hadapan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelumba, juruteknik, dan seluruh kakitangan pasukan KTM atas segala usaha mereka sepanjang musim ini. Iada adalah cabaran yang besar untuk semua namun kami telah buat beberapa perkembangan. Sekarang, kami menantikan aksi Selasa ini dimana musim baru akan dimulakan tidak lama lagi,” kata Pengurus Pasukan Red Bull KTM Factory Racing, Francesco Guidotti.
Dalam kategori lain, KTM GP Academy berjaya menutup kempen dengan pencapaian terbaik di tempat ke-4 oleh Jose Antonio Rueda dalam Moto3™ dan Celestino Vietti berada di tempat ke-7 dalam kejuaraan Moto2 untuk pasukan Red Bull KTM Ajo.
Sementara itu, KTM juga berhasil mengukuhkan kedudukan pasukan mereka sebagai Pengeluar kedua terbaik dalam musim ini dengan menamatkan tahun kelapan mereka dalam kelas perdana selepas memperoleh trofi podium dan kedudukan lima teratas dalam kejuaraan.