PUTRAJAYA, 4 Jun 2026 – RCB dan UMA Racing terus memperkukuhkan komitmen mereka dalam pembangunan sukan permotoran menerusi pengumuman barisan atlet dan duta jenama bagi musim 2026 yang terdiri daripada pelumba bertaraf antarabangsa, juara serantau serta bakat muda yang sedang meningkat naik.
Antara nama yang dipilih ialah David Alonso Gomez (Moto2), Hakim Danish Ramli (Moto3), Hafizh Syahrin Abdullah, Kasma Daniel Kasmayudin, Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin serta Qabil Irfan Azlan.
Melalui tajaan kewangan, bantuan teknikal dan penyediaan komponen prestasi tinggi, RCB dan UMA Racing berusaha memastikan pelumba mereka mendapat sokongan terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi sambil mengekalkan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan.
Pengurus Besar Jenama RCB dan UMA Racing, Marcus Leong berkata sukan permotoran bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi juga mengenai semangat, ketabahan dan inspirasi kepada generasi akan datang. Beliau menegaskan setiap pelumba yang disokong membawa nilai profesionalisme dan dedikasi yang selari dengan visi kedua-dua jenama.
Selain menyokong pelumba individu, RCB dan UMA Racing turut terlibat dalam pelbagai kejuaraan termasuk MotoGP, Moto2, Moto3, WorldSBK, Asia Road Racing Championship (ARRC), Malaysian Cub Prix serta platform pembangunan bakat seperti FIM Harley-Davidson Bagger World Cup dan Ducati V2 Challenge.
Salah seorang ikon utama dalam program ini ialah Hafizh Syahrin, bekas pelumba MotoGP dan juara bertahan ASB1000. Hubungan jangka panjang antara Hafizh dan RCB mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan sukan permotoran Malaysia. Hafizh menyifatkan sokongan berterusan RCB sebagai pendorong untuk terus mengejar kejayaan serta membantu membimbing generasi pelumba baharu negara.
Melalui kerjasama strategik ini, RCB dan UMA Racing berharap dapat memperkukuhkan kedudukan Malaysia di pentas perlumbaan antarabangsa sambil melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi untuk masa depan.


