Grand Prix Malaysia 2024 secara rasmi melabuhkan tirai dengan merekodkan seramai 184,923 ribu penonton yang hadir bagi menyaksikan kemenangan MotoGP Malaysia 2024 dirangkul pelumba Ducati Lenovo, Pecco Bagnaia pada petang Ahad.
Trofi yang dirangkul oleh Juara Dunia musim 2023 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) itu, turut menandakan perebutan trofi Juara Dunia 2024 masih terbuka dan akan diteruskan di saingan pusingan terakhir yang masih dalam perbincangan selepas lokasi asal Valencia, Sepanyol mengalami banjir teruk.
Namun, kemenangan itu bukanlah suatu yang mudah apabila pertembungan yang menjadi tumpuan antara Bagnaia dan Pelumba Prima Pramac, Jorge Martin itu seawal permulaan perlumbaan sudah pun begitu sengit.
Seawal 14 pusingan, Bagnaia terus meluru seperti roket memecut dengan kelajuan penuh dan meninggalkan Martin dengan jurang kedudukan yang jauh untuk memastikan perlumbaan dipimpin olehnya.
Pelumba berusia 27 tahun itu berjaya mengekalkan posisi di hadapan dengan kelajuan yang pantas sekali gus menoktahkan kemenangan selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 38: 04.563 saat, dengan kelebihan +3.141s dihadapan Martin.
Kemenangan itu turut menandakan kemenangan ke-10 pelumba kelahiran Itali itu pada musim ini sekali gus membantu merapatkan jurang mata dengan pendahulu carta Kejuaraan Dunia MotoGP, Martin.
Aksi Moto2, Pelumba Red Bull KTM Ajo Celestino Vietti berhasil memperoleh kemenangan ketiganya dalam musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan rekod masa 36:06.629 saat.
Ini merupakan kemenangan ketiganya selepas turut menjuarai MotoGP Austria dan Emilia Romagna.
Berikut merupakan keputusan penuh aksi perlumbaan MotoGP dan Moto2 Grand Prix Malaysia 2024:
Keputusan MotoGP
- Francesco Bagnaia (ITA) Ducati – 38:04.563
- Jorge Martin (ESP) Ducati – +3.141
- Enea Bastianini (ITA) Ducati – +10.484
- Alex Marquez (ESP) Ducati – +12.230
- Pedro Acosta (ESP) GASGAS – +13.699
(DNS)Jack Miller (AUS) Red Bull KTM Factory Racing
(DNS)Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Factory Racing
Kedudukan Kejuaraan Dunia MotoGP
- Jorge Martin (ESP) Ducati – 485 mata
- Francesco Bagnaia (ITA) Ducati – 461 mata
- Marc Marquez (ESP) Ducati – 369 mata
- Enea Bastianini (ITA) Ducati – 368 mata
- Pedro Acosta (ESP) GASGAS – 209 mata
- Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Factory Racing – 206 mata
Keputusan Moto2 Grand Prix Malaysia 2024
- Celestino Vietti (ITA) Red Bull KTM Ajo – 36:06.629
- Jorge Navarro (ESP) OnlyFans American Racing Team – +1.486
- Izan Guevara (ESP) CFMOTO Aspar Team – +3.265
- Jake Dixon (GBR) CFMOTO Aspar Team – +4.502
- Tony Arbolino (ITA) ELF Marc VDS Racing Team – +4.833