Pertarungan sengit bagi merebut petak utama akhirnya menyaksikan Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) muncul juara sesi kelayakan 2 (Q2) di Litar Balaton Park.
Perlumbaan pusingan 14 daripada 22 yang berlangsung pada petang semalam terbukti menjadi semakin penting kerana perebutan kejuaraan kini kian mendebarkan apabila perlumbaan kini memasuki musim separuh kedua.
Dalam aksi semalam, Quiles berjaya mencatat masa terpantas setelah mengatasi Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3) dan pemenang GP Austria, Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI) yang merampas kedudukan ketiga pada saat-saat akhir.
Daripada sesi kelayakan 1 (Q1), Taiyo Furusato (Honda Team Asia) mengetuai kemaraan bersama Joel Kelso (LEVELUP-MTA), rakan sepasukannya Marcos Uriarte, serta Scott Ogden (CIP Green Power) untuk layak ke Q2. Walaupun sesi Q2 bermula dengan masa agak perlahan berbanding sesi latihan 2 (FP2), rentak semakin hangat dengan banyak sektor merah dipaparkan.
Dengan baki lima minit, Quiles melibas masa terpantas untuk mendahului Perrone, Álvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo), dan Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP). Sementara itu, pendahulu kejuaraan Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) bergelut dari kedudukan ke-11 sebelum memperbaiki catatan di penghujung sesi.
Walaupun salah satu pecutan Quiles dibatalkan kerana melanggar had trek, rentaknya cukup untuk mengekalkan beliau di Petak 1. Barisan kedua kini diterajui Carpe bersama David Muñoz dan Pini, manakala barisan ketiga dihuni Jacob Roulstone, Rueda, dan Adrián Fernández. Rakan sepasukan Fernández, David Almansa pula, bermula dari Petak 10.
Berdepan nasib kurang baik, Furusato terlibat dalam insiden besar apabila mengalami ‘highside’ di selekoh pertama, menyaksikan pelumba Jepun itu terpaksa memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-12.
Berikut merupakan keputusan kedudukan 12 terbaik dalam kelayakan GP Hungary:
- Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team)
- Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3)
- Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI)
- Álvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo)
- David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP)
- Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP)
- Jacob Roulstone (Red Bull KTM Tech3)
- Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo)
- Adrián Fernández (Leopard Racing)
- David Almansa (Leopard Racing)
- Marcos Uriarte (LEVELUP-MTA)
- Taiyo Furusato (Honda Team Asia)
Baca juga:


