Fabio Quartararo mengakui sudah sepenuhnya menyesuaikan diri dengan peralihan kepada enjin V4 Yamaha, namun menegaskan projek tersebut masih berada di peringkat awal dan memerlukan pembangunan besar sebelum mampu bersaing dengan pengeluar lain di MotoGP.
Juara dunia 2021 itu menjelaskan bahawa beliau segera memahami perubahan yang diperlukan pada gaya tunggangannya sebaik sahaja menunggang jentera V4 buat kali pertama.
“Ya, saaya sudah serasi sepenuhnya. Saya terus mengetahui di mana saya perlu perbaiki dan menyesuaikan diri dengan cara tunggangan yang berbeza,” kata Quartararo.
Namun begitu, Quartararo menegaskan bahawa jentera V4 Yamaha masih belum setanding dengan V4 pengeluar lain di grid.
“V4 kami tidak sepenuhnya seperti yang lain. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, terutamanya dari segi membelok, cengkaman, traksi, elektronik dan kuasa.”
Quartararo mengakui walaupun pasukan telah melakukan ujian yang mencukupi ketika sesi shakedown, masa tambahan amat diperlukan khususnya untuk pembangunan elektronik dan mapping.
“Dua hari tambahan sudah tentu sangat membantu untuk elektronik dan pemetaan, tetapi saya rasa kami sudah menguji lebih daripada mencukupi,” jelasnya.
Quartararo turut menjelaskan insiden asap yang tular semasa ujian bukan berpunca daripada kegagalan enjin, sebaliknya disebabkan masalah elektronik.
“Ia isu elektronik. Saya nampak asap, tetapi setahu saya ia bukan masalah enjin.”
Dari sudut prestasi keseluruhan, Quartararo mengakui beliau masih belum yakin dengan tahap daya saing Yamaha ketika ini. Menurutnya, pasukan masih bergelut dan catatan masa pusingan belum cukup kompetitif, terutama apabila dibandingkan dengan pengeluar lain.
“Saya tidak boleh kata saya yakin. Meskipun pada sesi hari ini kami prestasi agak luar biasa dan kepantasan amat memberangsangkan tetapi kami sendiri mengetahui betapa kami masih bergelut. Masa pusingan kami tidak begitu baik. Pengeluar lain pula sangat laju.
Situasi ini diburukkan lagi dengan kemalangan besar yang dialami Quartararo apabila beliau kehilangan cengkaman tayar hadapan, menyebabkan impak kuat dan kecederaan pada tangannya. Insiden tersebut mengakibatkan satu jari patah serta hematoma, sekali gus memaksa beliau menghentikan ujian lebih awal bagi memberi tumpuan kepada pemulihan.
“Saya hilang bahagian hadapan agak awal, impaknya kuat dan saya juga melalui banyak pusingan di kawasan gravel. Saya agak ‘knockout’, tetapi mujurlah hanya beberapa kecederaan sahaja.”
Mengenai keputusannya menghentikan sesi ujian lebih awal, Quartararo percaya struktur pasukan Yamaha yang memiliki empat pelumba membolehkan kerja-kerja pembangunan diteruskan tanpa terlalu menjejaskan kemajuan projek V4.
“Kami sudah menguji semua perkara yang perlu. Saya lebih memilih untuk pulih dan bersedia sepenuhnya untuk kembali.”
Walaupun mengakui jurang prestasi yang ketara ketika ini, Quartararo menegaskan Yamaha sedar akan kedudukan sebenar mereka dan perlu menerima hakikat tersebut sambil terus bekerja keras.
“Kami tahu di mana kedudukan kami sekarang. Kami tahu kami sangat pantas sebagai pelumba, tetapi kami perlu terima situasi ini dan terus bekerja keras.” tambahnya lagi.
Peralihan kepada enjin V4 jelas membuka lembaran baharu buat Yamaha, namun berdasarkan penilaian Quartararo, perjalanan untuk kembali bersaing di barisan hadapan MotoGP masih memerlukan masa, kesabaran dan pembangunan teknikal yang menyeluruh.


