Selepas mencuri perhatian pada penampilan sulungnya di pentas Moto4 European Cup 2026, pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, kini bersedia mengharungi cabaran lebih besar apabila turun beraksi pada Pusingan 2 di Litar Estoril, Portugal hujung minggu ini dengan misi memburu podium pertamanya musim ini.
Qabil hadir ke Estoril dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada pusingan pembukaan di Barcelona, Catalunya apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat meskipun memulakan saingan dari petak kelapan. Keputusan itu bukan sahaja menghadiahkan 13 mata kejuaraan buat pelumba berusia 14 tahun itu, malah meletakkannya di tangga keempat keseluruhan selepas pusingan pertama.
Bagaimanapun, cabaran di Portugal dijangka lebih sukar apabila pasukan SIC-GRYD Racing tidak menjalani sebarang ujian persendirian di Estoril, berbeza dengan beberapa pasukan pesaing yang sudah mengumpul data penting menerusi sesi ujian awal. Situasi itu menjadikan setiap sesi rasmi bermula Jumaat amat penting untuk pasukan mendapatkan tetapan jentera terbaik bagi menghadapi perlumbaan.
Selain itu, tiada lagi sesi latihan tidak rasmi pada hari Khamis seperti kebiasaan sebelum ini, sekali gus mengehadkan masa persiapan di litar. Lebih mencabar, pusingan kali ini menampilkan dua perlumbaan yang akan berlangsung pada Ahad dengan setiap perlumbaan melibatkan 15 pusingan, menjadikan setiap mata kejuaraan yang ditawarkan cukup berharga.
Menurut Qabil, pengalaman yang diperoleh di Barcelona menjadi bekalan penting untuk tampil lebih kompetitif di Portugal.
“Pusingan pertama di Barcelona memberi banyak pengalaman baharu kepada saya. Saya dapat melihat sendiri bagaimana pelumba-pelumba Eropah berlumba dan bagaimana mereka menguruskan perlumbaan dalam kelompok yang sangat rapat.
“Saya belajar banyak perkara sepanjang hujung minggu tersebut. Setiap sesi memberikan pengajaran yang berbeza dan saya rasa pengalaman itu akan membantu saya untuk tampil lebih baik di Portugal nanti.
“Bagi saya, salah satu perbezaan terbesar ialah pelumba-pelumba di sini sangat laju dan agresif. Mereka sentiasa memberikan tekanan dan tidak mudah melakukan kesilapan.
“Untuk pusingan di Portugal nanti, saya mahu menjadi lebih agresif berbanding sebelum ini. Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok hadapan dan cuba memburu kedudukan podium. Saya akan cuba memanfaatkan segala pengalaman yang diperoleh di Barcelona dan memberikan yang terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan nanti,” katanya.
Prestasi cemerlang di Barcelona turut membuktikan kemampuan Qabil menyesuaikan diri dengan pantas dalam persekitaran baharu yang lebih kompetitif. Pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya bersaing dalam kelompok hadapan sepanjang perlumbaan dan beberapa kali bertukar posisi dengan pencabar utama sebelum hanya terlepas peluang menaiki podium pada penghujung perlumbaan.
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, memuji kematangan yang ditunjukkan Qabil sepanjang penampilan sulungnya di pentas Eropah.
Menurutnya, Qabil tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera, pasukan dan tahap persaingan yang jauh lebih tinggi, malah berjaya memberikan saingan sengit dalam perebutan podium sehingga ke garisan penamat.
“Qabil menunjukkan kematangan yang cukup baik untuk seorang pelumba berusia 14 tahun. Apa yang paling menggembirakan ialah dia bukan sekadar berada dalam kelompok hadapan, tetapi benar-benar bersaing untuk merebut kedudukan podium sehingga ke penghujung perlumbaan.
“Itu petanda yang sangat positif kerana ia menunjukkan Qabil mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh. Sudah tentu masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, namun kami gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan setakat ini.
“Harapan saya, saya mahu Qabil memberi persembahan terbaik bermula sesi latihan dan merebut petak terbaik pada sesi kelayakan,” katanya.
Sekadar info, Estoril bukanlah litar asing buat Qabil. Pelumba muda negara itu pernah mencipta kemenangan di venue yang sama pada Pusingan Keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) musim lalu, sekali gus memberikan sedikit kelebihan dari segi pengalaman di litar yang terkenal dengan kombinasi selekoh teknikal dan laluan lurus panjang itu.
Namun begitu, saingan Moto4 European Cup tetap menjanjikan cabaran tersendiri apabila kejuaraan tersebut menghimpunkan lebih 50 pelumba tetap dari lebih 20 negara selain kehadiran beberapa pelumba wildcard yang mampu mengubah corak persaingan.
Dengan keyakinan yang semakin meningkat serta pengalaman berharga daripada pusingan pembukaan, Estoril bakal menjadi pentas penting buat Qabil untuk membuktikan kemampuannya sekali lagi dan merealisasikan impian menghadiahkan podium sulung Moto4 European Cup buat Malaysia.



