Pelumba muda berbakat, Qabil Irfan sekali lagi mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut dalam kejohanan ESBK Talent Cup yang berlangsung di Jerez, Sepanyol baru-baru ini.
Pelumba cilik dari Terengganu ini terus mempamerkan prestasi mengangumkan untuk berada di kelas tersendiri selepas menjuarai Perlumbaan 2 hanya sehari selepas mengungguli perlumbaan 1, sekali gus menjadikan saingan pertama musim ini didominasinya.
Kejayaan luar biasa yang dicipta pelumba berusia 13 tahun itu turut menerima perhatian dari Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim yang mengungkapkan pencapaian pelumba muda itu wajar diberikan tepukan.
“Tahniah buat Qabil Irfan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang selepas muncul Juara bagi kategori ESBK Talent Round 1 Race 2 hari ini di Jerez, Sepanyol.
“Ia kemenangan buat kali kedua bagi Qabil selepas muncul Juara bagi Race 1 kelmarin. Qabil berjaya mengenepikan pesaing-pesaing daripada kelab permotoran negara lain bagi cabaran pada kali ini.
“Semoga dipermudahkan urusan Qabil, diberikan kekuatan untuk terus memberi saingan dan mengekalkan kejuaraan bagi edisi perlumbaan lain,” Beliau berkata demikian dalam satu kiriman menerusi laman sosial media rasminya, semalam.

Sementara itu, bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin, yang juga figura penting di sebalik kejayaan Qabil, menyifatkan kemenangan itu sebagai satu permulaan yang cemerlang bagi musim 2025.
“Alhamdulillah, ini adalah permulaan musim yang sangat baik buat Qabil dalam saingan ESBK. Pasukan VHC telah menyediakan jentera yang benar-benar kompetitif dan sesuai untuk Qabil,” jelas Zulfahmi dalam satu kenyataan .
Menurutnya lagi, beberapa sesi ujian tambahan di Eropah turut dirancang dalam masa terdekat bagi memastikan prestasi Qabil kekal konsisten sepanjang musim perlumbaan.
Zulfahmi juga tidak lupa menghargai sokongan semua pihak, khususnya ibu bapa Qabil yang banyak berkorban dan memberikan komitmen tinggi untuk memastikan perjalanan karier anak mereka terus berkembang.
Selepas kejayaan cemerlang di Jerez, tumpuan kini beralih ke pusingan kedua ESBK yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei, dengan lokasi litar akan diumumkan tidak lama lagi.