Para pelumba muda negara mempamerkan aksi memukau dalam saingan FIM MiniGP World Finalis di Litar Go Kart Motorland Aragon, Sepanyol dan berjaya merangkul tempat di podium dalam perlumbaan pada 14 November lalu. Airel Marzuki yang bersaing dalam kategori 160cc berjaya menamatkan perlumbaan di P3 dalam perlumbaan 2, manakala Juara Dunia MiniGP 160cc musim lalu, Qabil Irfan, menamatkan perlumbaan di P3 dalam perlumbaan Super Final.
Meskipun, kilauan pingat yang disasarkan negara dalam saingan kelas 190cc tidak kesampaian, namun Qabil Irfan Azlan bangkit dan menebus dari kekalahan dengan menduduki podium apabila meraih tempat ketiga dalam perlumbaan selepas mengutip 32 mata dan jumlah keseluruhan 56 mata untuk menduduki tempat kelima keseluruhan dalam kejuaraan dunia.
Adam Danial turut mempamerkan aksi memberangsangkan selepas mencatat kedudukan P14 pada Perlumbaan 1 dan P15 pada Perlumbaan 2. Manakala Qayyim Razin, yang berlumba atas tiket FIM MiniGP Indonesia, menduduki tempat P9 pada Perlumbaan 1 dan P12 pada Perlumbaan 2.
Di pentas Super Final pula, Adam menduduki tempat ke-17 manakala Qayyim mendapat tempat ke-13. Ini memberikan Qayyim tempat ke-11 dalam kedudukan keseluruhan dengan 17 mata. Manakala Adam di tangga ke 18 dengan kutipan tiga mata.
Muhammad Airel Marzuki, yang menjadi sandaran tunggal negara untuk mempertahankan kejuaraan kelas 160cc yang dimenangi Qabil musim lepas, turut terlepas peluang selepas jauh ketinggalan di P16 pada Perlumbaan 1. Namun, Airel bangkit dan pamer aksi cemerlang apabila berjaya meraih podium dan menamatkan perlumbaan P3 di Perlumbaan 2. Dalam perlumbaan Super Final, Airel menduduki tempat ke-6, dan mengakhiri kejuaraan di tangga ke-7 dengan 36 mata.
Dalam pada itu, Naib Juara siri kejohanan FIM MiniGP Malaysia, Farish Hafiy bernasib malang selepas gagal melepasi pusingan kelayakan kerana berdepan masalah kerosakan jenteranya sekali gus memaksa beliau untuk terlepas peluang bagi menyertai perlumbaan tersebut.
“Sememangnya, saya merasa bimbang apabila Motorland Aragon diumumkan sebagai venue perlumbaan untuk kejuaraan FIM MiniGP World Finals 2024. Berbeza dengan Valencia, kita tidak mempunyai apa jua data tentang litar ini; dan ini meletakkan kita dalam keadaan ‘kekurangan’ dengan kelebihan dinikmati para pelumba dari Eropah khususnya Sepanyol.
“Apapun, saya gembira dengan keupayaan para pelumba negara untuk cepat memahami dan memahiri trek untuk beraksi dengan baik pada sesi latihan bebas. Malangnya, sesi kelayakan berlangsung di litar basah dan ia menjejas prestasi pelumba negara termasuk Qabil Irfan dan Farish Hafiy yang terjatuh pada sesi kelayakan,” kata Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin dalam satu kenyataan.
Pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan, yang berlumba atas tiket FIM MiniGP Malaysia, turut bergelut dalam penampilan pertama beliau di kejuaraan akhir dunia itu dengan mencatat keputusan P10 pada Perlumbaan 1, P11 pada Perlumbaan 2 dan tempat ke-19 pada perlumbaan Super Final. Beliau menamatkan kejuaraan di tangga ke 14 dengan 11 mata.
Dengan itu, pelumba negara secara rasmi menamatkan kempen di FIM MiniGP World Finalis dengan menyaksikan pelumba Sepanyol, Alvaro Lucas dan pelumba Jepun, Waku Kunitate dinobatkan sebagai Juara kategori 190cc dan 160cc di MotorLand Aragon.