Fokus utama MotoGP 2025 yang tertumpu kepada persaingan di antara Juara Dunia enam kali, Marc Marquez dan rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia dalam pembukaan musim berakhir dengan keputusan yang kurang memuaskan, meskipun kedua-duanya berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik.
Pecco, yang dijangka menjadi pencabar utama Marc, sebaliknya berdepan saingan sengit daripada adik Marc, Alex Marquez, yang berlumba di bawah pasukan Gresini Racing. Prestasi luar biasa Alex menjadikannya ancaman utama kepada abangnya sendiri, sekali gus menenggelamkan harapan peminat untuk melihat pertarungan hebat antara Marc dan Pecco di GP Thailand, pada Ahad.
Kekecewaan jelas dirasai peminat, yang meletakkan harapan tinggi agar pelumba Itali itu memberikan saingan lebih sengit dalam perebutan gelaran juara.
Dalam pada itu, Pecco sendiri turut mengakui bahawa prestasinya pada hari perlumbaan tidak mencapai tahap yang diinginkannya.
“Saya menjangkakan keputusan yang lebih baik hari ini, tetapi sejujurnya, perlumbaan ini terasa sangat panjang, dan saya tidak dapat merapatkan jurang. Saya cuba mendekati Alex, tetapi setiap kali saya mencuba saya masih kurang daripada setengah saat di belakangnya dan saya juga mula bergelut dengan cengkaman.
“Saya sudah mencuba sedaya upaya, tetapi hari ini perasaan saya di atas jentera tidak begitu baik. Kami kehilangan 14 mata hujung minggu ini, tetapi kami perlu terus maju dan berusaha lebih baik di Argentina. Itu bukan litar kegemaran saya, sama seperti di sini, tetapi kami akan lakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Pengurus Pasukan Ducati, Luigi Dall’Igna, turut memberi ulasan mengenai prestasi Pecco yang dianggap kurang memuaskan berbanding jangkaan.
“Kami sedar bahawa ini bukan salah satu litar kegemaran Pecco, dan dia tidak berasa selesa sepenuhnya dengan jenteranya sepanjang hujung minggu ini. Dalam keadaan ini, dua penamat di tempat ketiga boleh dianggap sebagai keputusan yang baik. Lagipun, ini masih permulaan kejuaraan. Dengan tiga jentera Ducati berada di podium dan petak hadapan, saya boleh katakan bahawa kami cukup berpuas hati dengan pencapaian ini,” ujarnya kepada media.
Namun, masih terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar Pecco. Ketika ini, dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera GP24 miliknya, musim yang panjang bakal menjadi medan terbaik untuknya meningkatkan keserasian dan mengukuhkan cabarannya dalam usaha merampas kembali gelaran juara dunia.
Juara Dunia 2023 itu bakal kembali ke litar untuk membuktikan kemampannya dalam aksi GP Argentina yang bakal berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina dalam tempoh dua minggu lagi.
Baca juga :


