Prestasi membanggakan, Qabil Irfan mendahului pungutan mata ESBK

Motorland Aragon, Sepanyol | 29 Jun 2025 – Qabil Irfan memulakan minggu perlumbaan dengan prestasi cemerlang bagi Pusingan 3 ESBK Talent yang berlangsung di Litar Motorland Aragon, Sepanyol. Dari sesi latihan rasmi Free Practice 3 dan Free Practice 4 sehinggalah ke sesi Qualifying, Qabil terus konsisten mendominasi saingan apabila mencatat masa terpantas dalam ketiga-tiga sesi tersebut. Prestasi ini sekaligus mengesahkan kedudukan Qabil di petak pertama untuk perlumbaan Race 1.

Race 1
Bagi Race 1 pusingan ke-3 ESBK Talent berlangsung dalam keadaan cuaca yang agak panas, mencecah sekitar 45°C di Litar Motorland Aragon, Sepanyol yang mempunyai 17 selekoh dan laluan lurus 968 meter.

Qabil memulakan perlumbaan dengan cemerlang apabila berjaya melakukan holeshot sejurus lampu merah dipadam dan mengetuai perlumbaan pada awal pusingan. Namun, keadaan angin yang agak kuat di Sektor 4 selekoh 15 hingga 17, terutamanya di laluan lurus, menyukarkan Qabil untuk terus mengekalkan kedudukan di hadapan memandangkan slipstream menjadi senjata utama pelumba-pelumba lain. Empat pelumba di kelompok hadapan saling bersaing rapat, saling pintas-memintas sepanjang perlumbaan. Namun pada pusingan terakhir, Qabil mula mengorak langkah seawal selekoh 1.

Qabil berjaya melebarkan jurang dari selekoh 1 hingga selekoh 15, namun seperti yang dijangka, Enzo Zaragoza (Sepanyol), memanfaatkan slipstream untuk memintas Qabil sejurus memasuki Turn 16 dan melintasi garisan penamat dengan kelebihan hanya 0.062 saat di hadapan. Qabil menamatkan perlumbaan ditempat ke-2.


Race 2
Bermula di petak ke-2, Qabil tidak teragak-agak untuk melakukan holeshot sebaik sahaja lampu merah dipadam, sekaligus mendahului perlumbaan pada pusingan awal.

Motorland Aragon terletak di kawasan berbukit dengan keadaan cuaca panas disebabkan musim panas di Eropah, Qabil bijak mengatur strategi ketika pelumba lain berlumba-lumba merebut kedudukan hadapan. Kelompok hadapan yang terdiri daripada lapan pelumba memperlihatkan persaingan sengit di pertengahan perlumbaan untuk merebut kemenangan.

Qabil yang semakin matang dalam merancang strategi memilih untuk tidak memaksa diri mengetuai perlumbaan. Sebaliknya, Qabil kekal di kedudukan ke-4 sambil mengekori rapat pelumba di hadapan.

Pada pusingan terakhir, Qabil memulakan strategi dengan memintas satu demi satu pelumba sehingga berjaya mendahului di selekoh terakhir. Namun, beberapa meter sebelum garisan penamat, Alessio Arnold dari pasukan Full Moto Squadra Corse berjaya memintas Qabil dengan perbezaan masa yang amat kecil, hanya 0.028 saat. Qabil menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam satu penamat yang amat sengit.

Qabil berkongsi cabaran dan strategi yang beliau terpaksa kuasai namun sempat berterima kasih kepada Hakim Danish yang turut beri sokongan moral serta strategi dan tunggangan yang penting terutama berdepan dengan kumpulan yang besar dalam perlumbaan.

“Race 1 memang sengit. Saya cuba untuk push dan jarakkan diri dengan pelumba lain, tetapi tidak berjaya. Saya juga perasan kumpulan kedua semakin hampir kerana ada pelumba dalam kelompok saya yang mengetuai kumpulan agak perlahan. Strategi saya adalah untuk mendahului di lap terakhir dan cuba menjarakkan diri, tetapi saya dipintas di laluan lurus sebelum garisan penamat.”

“Race 2 agak mencabar untuk saya kerana terlalu ramai pelumba dalam kelompok hadapan. Saya cuba kekalkan pace untuk terus berada dalam kumpulan dan strategi saya adalah untuk menyerang di pusingan terakhir. Saya hampir menang, tetapi Alessio berjaya memintas saya sebelum garisan penamat. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Hakim Danish yang banyak membantu saya dari segi tunggangan dan strategi, serta kepada crew chief dan pasukan VHC yang sentiasa memberi sokongan sepanjang minggu ini.”


Mata keseluruhan
Dengan prestasi yang cukup cemerlang sepanjang tiga pusingan ESBK, Qabil Irfan Azlan kini mendahului 135 mata keseluruhan kejohanan selepas 3 pusingan daripada 7 pusingan keseluruhan. Ini grafik kedudukan 3 terbaik kejohanan:

Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin turut akui preastasi Qabil dalam Pusingan ke-3 dipengaruhi oleh catatan masa terbaik dalam Free Practice 3 & 4 sekali gus mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakkan untuk berada di grid permulaan yang pertama. Zulfahmi berharap Qabil terus kekalkan momentum berterusan sehingga penghujung musim.

Seterusnya Qabil akan teruskan kejohanan ESBK pada 19-20 Julai di Circuito de Navarra dengan cabaran berbeza. Ikuti perkembangan Qabil Irfan lebih dekat di semua platform dan sosial media Tarmac Sports.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related