Red Bull KTM Tech3 mengumumkan bahawa pelumba ujian mereka, Pol Espargaro, bakal beraksi di Grand Prix Hungary hujung minggu ini sebagai pengganti kepada Maverick Viñales.
Viñales, yang mengalami kecederaan bahu ketika beraksi di Jerman, cuba membuat kemunculan semula di GP Austria. Namun, pelumba Sepanyol itu terpaksa menempuh hujung minggu yang sukar dengan menunggang dalam kesakitan sebelum memutuskan untuk berehat dan memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan.
Pol Espargaro, yang kini bertindak sebagai pelumba ujian Red Bull KTM, akan kembali ke grid MotoGP bersama Tech3. Pengalaman beliau menguji di Litar Balaton Park sebelum ini dilihat sebagai kelebihan penting, memandangkan trek tersebut bakal membuat penampilan sulung dalam kalendar MotoGP musim ini.
Dalam kenyataannya, Espargaro meluahkan rasa simpati terhadap Viñales sambil menekankan kepentingan untuk kembali hanya apabila benar-benar cergas:
“Sukar untuk Maverick terlepas satu lagi perlumbaan, tetapi kita dapat lihat di Austria bahawa dia memerlukan lebih masa untuk pulih. Dalam MotoGP, penting untuk berada pada tahap 100%. Saya tahu perasaan ini kerana saya sendiri pernah mengalaminya. Maverick telah melakukan kerja yang hebat untuk pasukan dan dia layak menikmati jentera ini seperti pelumba lain.”
Espargaro menambah bahawa walaupun sukar untuk menukar ‘mentaliti pelumba ujian’ kepada ‘mentaliti pelumba perlumbaan’, beliau bersedia untuk menyahut cabaran di Hungary.
“Kami telah menjalani beberapa sesi ujian baru-baru ini dan dapat melihat kemajuan besar dalam projek ini. Saya gembira dapat membantu pasukan dan kilang sekali lagi dengan beraksi hujung minggu ini. Ia akan membawa nilai tambahan, sama ada dalam kerja belakang tabir mahupun di litar,” jelasnya.
Ketika ini, Pol Espargaró berada di tempat ke-23 dalam kedudukan keseluruhan dengan 12 mata, mendahului beberapa wild-card dan pelumba gantian lain seperti Aleix Espargaró dan Dani Pedrosa.
Litar ini menjadi lokasi terbaru dalam kalendar MotoGP dengan reka bentuk sepanjang sekitar 4.08 km dan 17 selekoh, 10 ke kiri dan 7 ke kanan. Ia dibina khusus untuk menguji ketepatan dan kecekapan pelumba serta keupayaan jentera baru di atas aspal yang mencabar. Espargaró, sebagai pelumba ujian, memiliki kelebihan kerana beliau sudah mencuba litar tersebut pada musim sebelum ini.
Baca juga:


