Selepas hampir sedekad menunggu, Formula 1 akhirnya kembali ke Sepang. Jika anda sudah berjaya mendapatkan tiket, kini anda perlu tahu barang apa yang anda patut bawa ke Grand Prix.
Apabila anda sudah berada di dalam kawasan litar, anda akan menghabiskan berjam-jam di litar, berjalan jauh, berdiri di bawah cuaca panas Malaysia dan mungkin berdepan hujan pada bila-bila masa. Jangan sampai semangat anda nak menonton Max Verstappen, Lewis Hamilton mahupun George Russell bertukar suram sebaik sahaja anda tersedar yang ada barangan penting tertinggal di rumah.
Jadi, di sini kami sediakan Grand Prix Guide mengikut tiga kategori yang kami rasa memang patut ada dalam beg anda sebelum datang ke Sepang.
Kategori 1 – Wajib Bawa
Tiket masuk
Liputan internet di litar mungkin tidak selalunya stabil, jadi pastikan anda sediakan tiket fizikal untuk memudahkan anda melepasi akses sekuriti di pagar.
Duit (tunai atau kad)
Tibanya minggu perlumbaan, keadaan di luar dan di dalam litar akan dipenuhi dengan peniaga yang menjual variasi makanan dan produk rasmi pasukan. Pastikan anda sediakan duit secukupnya supaya tidak mempunyai masalah ketika membeli nanti.
Power bank
Kalau boleh, bawa yang kecil dan ringan supaya tidak menambah beban ketika berjalan dari satu kawasan ke kawasan lain.
Telefon dan kamera
Komunikasi ketika anda berada di dalam kawasan litar amat penting kerana banyak yang perlu anda ambil tahu seperti peta litar, jadual perlumbaan, tiket digital dan sudah tentunya untuk bergambar. Sediakan kamera kecil untuk anda tangkap gambar pelumba kegemaran anda dan simpan sebagai kenangan!
Botol air (600 ml)
Malaysia panas. Dan anda pula akan berada di kawasan terbuka untuk tempoh yang lama. Jangan tunggu sampai haus baru nak cari air. Bawa botol air yang dibenarkan masuk ke venue dan pastikan anda kekal hidrat sepanjang hari.
Tisu basah dan tisu kering
Berpeluh, tangan kotor, tangan berminyak, tandas kehabisan tisu? Ya, anda tahu apa yang perlu anda bawa.
Beg kecil
Jangan datang dengan beg yang terlalu besar dan penuh dengan barang yang akhirnya tidak digunakan. Beg silang kecil atau backpack yang praktikal sudah memadai untuk menyimpan barang penting seperti telefon, power bank, dompet, sunscreen, ponco dan air.
Kategori 2 – Pakaian OOTD
Set lengkap pakaian pasukan
Bahrain GP di Malaysia merupakan acara khas yang mungkin terjadi sekali seumur hidup. Gayakan diri anda dengan jersi atau pakaian pasukan kegemaran anda untuk menyemarakkan semangat pasukan semasa perlumbaan nanti.
Seluar
Pakai seluar yang selesa seperti seluar kargo supaya anda selesa bergerak. Elakkan kain denim yang keras kerana anda mungkin berpeluh sepanjang hari.
Kasut
Ini bukan masa untuk pakai kasut semata-mata sebab nampak cantik dalam Instagram. Anda akan berjalan jauh. Ya, banyak berjalan. Pakai kasut yang selesa dan sudah biasa digunakan.
Topi
Selain melindungi kepala daripada matahari, ia juga boleh mengurangkan rasa bahang ketika menunggu sesi bermula. Bonus point kalau topi itu produk rasmi pasukan kegemaran. Barulah nampak macam peminat setia F1.
Kategori 3 – Lain-lain Keperluan
Ear plug
Kereta F1 moden memang tidak lagi menghasilkan bunyi seperti era V10 atau V8 dahulu, tetapi bunyi enjin yang dilaungkan pada kelajuan tinggi dari jarak dekat tetap boleh menjadi sangat kuat. Kalau anda sensitif terhadap bunyi atau membawa kanak-kanak, ear plugs boleh menjadi aksesori yang sangat berguna.
Baju hujan atau payung
Ini Malaysia. Langit biru pukul 2 petang tak bermaksud pukul 4 petang masih biru. Kalau hujan turun ketika anda berada di grandstand atau tengah berjalan ke kawasan lain, ponco jauh lebih praktikal daripada payung. Tambahan pula, hujan di Sepang bukan benda pelik. Lebih baik simpan satu dalam beg daripada terpaksa mencari kedai ketika semua orang mempunyai idea yang sama.
Sunscreen
Tidak kira lelaki atau wanita, ini antara benda yang ramai orang mungkin rasa tak penting sebelum sampai. Sampai Sepang nanti baru menyesal. Sapu sunscreen sebelum keluar dan bawa sekali untuk top-up sepanjang hari. Ingat, sunburn tidak memilih jantina.
Kerusi lipat
Buat pemegang tiket hillstand, sediakan kerusi lipat bersaiz kecil mengikut peraturan barangan supaya anda boleh duduk dengan selesa sepanjang sesi berlangsung.
Kipas mini mudah alih
Keadaan di litar mungkin akan panas membahang dan tidak selesa. Sediakan kipas tangan mudah alih untuk menyelamatkan anda daripada cuaca panas.
Support banner
Jika anda mempunyai pasukan kegemaran, sudah tentu anda perlu bawa support banner pasukan anda! Bonus tambahan sekiranya anda boleh berkarya secara kreatif untuk menghasilkan support banner yang cantik. Mana tahu, pelumba kegemaran anda mungkin dapat melihatnya juga?
Mungkin ada yang sudah cakna tentang apa yang perlu dibawa ketika hari kejadian tiba dan mungkin juga ada yang belum. Apa yang penting, semak dahulu peraturan barangan yang dibenarkan masuk ke venue sebelum hari perlumbaan.
2-4 Oktober 2026 bakal menjadi sejarah penting buat rakyat Malaysia. Ambil gambar dan jangan lupa nikmati detik-detik gemilang apabila Formula 1 kembali ke Sepang.


