Perlumbaan Malam F1 di Sepang Mustahil Buat Masa Sekarang

Selepas hampir sedekad menanti, F1 akhirnya kembali ke Malaysia. Sepang International Circuit (SIC) akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix dari 2 hingga 4 Oktober 2026, sebuah susunan unik selepas perlumbaan asal di Bahrain dan Arab Saudi terpaksa ditunda akibat ketidakstabilan serantau di Timur Tengah. Perlumbaan ini akan diselitkan antara pusingan Baku dan Singapura, menjadikannya sebahagian daripada satu “triple-header” yang padat untuk semua pasukan dan para pemandu.

Bagi peminat F1 tempatan, ini adalah berita baik yang sudah lama diimpikan. Ia juga kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah sejak 2017. Namun begitu, dengan Sepang berdiri di antara dua bandar yang terkenal dengan perlumbaan malam iaitu Singapura dan Bahrain, satu persoalan tidak dapat dielakkan mula bermain di fikiran ramai peminat:

Bolehkah Sepang turut menjadi lokasi perlumbaan malam F1 suatu hari nanti?

Jawapan ringkasnya: Ya, tetapi bukan dalam masa yang terdekat kerana jurang teknikal yang diperlukan jauh lebih besar daripada yang kita sangkakan.

Apa Yang Sepang Sudah Ada?

Sepang bukanlah litar yang gelap sepenuhnya selepas matahari terbenam. Pada Ogos 2018, litar ini telah memasang sistem lampu sorot (floodlight) rasminya sendiri, sebuah pelaburan yang membolehkan perlumbaan dan latihan malam diadakan di sana buat julung kalinya.

Sistem ini terdiri daripada 64 tiang lampu yang menerangi litar sepanjang 5.543km, menghasilkan taburan cahaya yang konsisten pada kadar 150 lux. Untuk konteks, “lux” adalah unit ukuran keamatan cahaya, jadi semakin tinggi nilainya, semakin terang sesuatu permukaan itu diterangi.

Pada waktu pelancaran, sistem ini disambut baik dan diluluskan sepenuhnya untuk perlumbaan amatur serta acara kelab. Ia cukup terang untuk pemandu melihat litar dengan jelas pada kelajuan sederhana. Masalahnya timbul apabila kita membandingkannya dengan piawaian yang jauh lebih tinggi mengikut keperluan Formula 1, yakni sukan yang beroperasi pada kelajuan dan risiko yang jauh berbeza.

Piawaian FIA: Menukar Malam Kepada Siang

Untuk sesebuah litar menganjurkan perlumbaan malam F1, FIA (badan pentadbir sukan permotoran 4 roda sedunia) menetapkan garis panduan yang amat ketat, bukan sekadar cukup terang untuk pemandu nampak jalan, tetapi cukup terang untuk mensimulasikan cahaya siang sepenuhnya.

Beberapa keperluan utama termasuklah:

  • Keperluan Lux. Permukaan litar mesti mencapai sekurang-kurangnya 1,500 lux. Sebagai perbandingan, sebuah pejabat yang diterangi dengan baik hanya berada pada paras kira-kira 500 lux sahaja. Ini bermakna litar F1 pada waktu malam perlu TIGA KALI lebih terang daripada pejabat korporat biasa.
  • Perlumbaan Tanpa Bayang. Pada kelajuan melebihi 300 km/j, pencahayaan mesti dapat menghapuskan bayang-bayang dan silauan yang berbahaya. Jika ada zon gelap atau bayang-bayang pada litar, ia boleh mengelirukan pandangan pemandu dalam sepersekian saat, sesuatu yang tidak boleh berlaku pada kelajuan tinggi sebegini.
  • Soal Penyiaran. Ramai terlupa bahawa F1 pada dasarnya adalah sebuah produk siaran televisyen. Jika tahap lux tidak mencukupi, kamera berkualiti tinggi (4K/UHD) serta kamera slow-motion akan menghasilkan siaran yang kurang jelas atau berbutir kasar (grainy) dan berkelip-kelip (flickering) di skrin TV peminat di seluruh dunia. Ini bukan sahaja isu keselamatan, tetapi juga isu kualiti penstriman sukan itu sendiri.

Jurang 10 Kali Ganda: Sepang Berbanding Litar Lain

Jika kita letakkan Sepang bersebelahan dengan litar-litar F1 sedia ada yang menganjurkan perlumbaan malam, perbezaan ketara amatlah jelas:

LitarKuasa Pencahayaan
Singapura (Marina Bay)~3,000 lux
Bahrain (Sakhir)~3,000 lux
Abu Dhabi (Yas Marina)1,500–3,000 lux
Malaysia (Sepang)150 lux

Perbezaan yang cukup ketara bukan? Oleh itu, litar-litar yang secara tetap menganjurkan perlumbaan malam F1 bukan sekadar mencapai paras minimum 1,500 lux malah menggandakannya jauh lebih daripada itu. Marina Bay dan Sakhir kedua-duanya beroperasi pada kira-kira dua kali ganda keperluan minimum FIA, sebagai margin keselamatan tambahan.

Sepang, sebaliknya, berada pada 150 lux, bermakna sistem sedia ada litar ini kira-kira 10 kali lebih lemah daripada keperluan minimum F1, apatah lagi berbanding piawaian sebenar yang digunakan oleh litar-litar malam yang lain.

Ini bukan jurang yang boleh ditampung dengan menambah beberapa tiang lampu sahaja. Ia memerlukan pembinaan semula sistem pencahayaan litar dari akar umbi.

Jadi, Bolehkah Sepang Sampai ke Sana?

Secara teorinya, ya memang boleh. Sebab tiada apa yang menghalang Sepang daripada suatu hari nanti memasang sistem pencahayaan bertaraf F1 sepenuhnya. Litar-litar lain seperti Marina Bay dan Yas Marina membuktikan ia boleh dilakukan. Tetapi ini bukan projek kecil.

Menaik taraf sistem pencahayaan daripada 150 lux kepada sekurang-kurangnya 1,500–3,000 lux bukan sekadar soal menambah bilangan tiang lampu, tetapi melibatkan reka bentuk semula keseluruhan sistem elektrik litar, jenis lampu LED berprestasi tinggi yang digunakan secara meluas oleh litar-litar moden, serta kos pelaburan yang amat besar, belum lagi kelulusan teknikal dan keselamatan yang perlu melalui proses panjang bersama FIA.

Untuk perlumbaan Bahrain GP di Malaysia pada Oktober 2026, ini bukan sesuatu yang perlu dirisaukan kerana perlumbaan ini akan diadakan pada waktu siang seperti biasa. Tetapi jika Sepang mahu benar-benar dipertimbangkan sebagai tuan rumah perlumbaan malam pada masa hadapan, ia bukan soal “bila”, tetapi soal “berapa besar pelaburan yang sanggup dibuat” untuk mengejar litar-litar lain yang sudah bertahun-tahun mendahului dari segi infrastruktur.

Buat masa ini, Sepang boleh menerangi litar untuk latihan kelab dan acara amatur dengan baik. Tetapi untuk menerangi litar seterang siang bagi 22 kereta yang bergerak pada kelajuan melebihi 300 km/j? Itu cabaran yang jauh lebih besar daripada sekadar menukar mentol lampu.

Rujukan:

  • Night F1 at Sepang? Why The Lights Say “No”. Voxtapose.my https://www.instagram.com/p/DbbE1mvAXHN/?img_index=1
  • SIC Floodlight Launch, Ogos 2018 https://www.bikesrepublic.com/english/archive/can-now-race-around-sepang-international-circuit-night/
  • The F1 Rulebook: Night Racing by Aston Martin, October 2023https://www.astonmartinf1.com/en-GB/news/feature/avatrade-explains-the-f1-rulebook-racing-at-night

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related