Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Pengasas pasukan WCM meninggal dunia

Bob MacLean, Pengasas kepada Pasukan WCM dimaklumkan menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 2024.

Bob Maclean yang juga merupakan individu penting disebalik kejayaan pasukan bebas Red Bull Yamaha WCM yang pernah memenangi lima perlumbaan 500GP dipercayai telah meninggal dunia pada usia 87 tahun, di kediaman rumahnya bertempat di Wilson,Wyoming, Amerika Syarikat.

Beliau dimaklumkan meninggalkan seorang isteri, Mary Anna Marna MacLean yang berusia 64 tahun, tiga orang anak lelaki, dan lima cucu.

Memetik laporan dari Road Racing World, MacLean dikenang sebagai seorang suami, bapa, dan pendidik yang berdedikasi. Lahir pada 18 Februari 1937 di Coronado, California, MacLean menjalani kehidupan yang penuh komitmen terhadap pendidikan, sukan, dan komuniti.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam organisasi komuniti seperti South Kent School, Teton County Sheriff Auxiliary, dan Shakespeare Globe di New York. Di Wilson, Wyoming, MacLean menikmati masa lapangnya dengan aktiviti memancing lalat dan menyumbang kepada organisasi tempatan seperti Jackson Hole Land Trust dan National Museum of Wildlife Art.

Menurut Crash.Net, selama Mclaen masih hidup, beliau berjasa dalam menubuhkan pasukan bebas WCM pada tahun 1992 bersama Peter Clifford sebagai pengurus pasukan. Bermula dengan casis ROC dan enjin Yamaha, WCM mendapat tawaran menggunakan jentera YZR500 spesifikasi kilang pada tahun 1997, diikuti dengan perjanjian tajaan utama bersama Red Bull.

Pasukan ini mencapai kemenangan pertama mereka pada tahun 1998 di Donington Park melalui Simon Crafar, dan kemenangan kedua oleh Regis Laconi di Valencia pada tahun berikutnya. Kemaraan pasukan tersebut diteruskan di tahun 2000 apabila pelumba mereka, Garry McCoy, dikenali sebagai raja gelincir, meraih tiga kemenangan dan menduduki tempat kelima dalam kejuaraan dunia.

McCoy menambah tiga podium lagi pada tahun 2001, mengatasi rakan sepasukannya Noriyuki Haga walaupun terlepas beberapa perlumbaan akibat kecederaan.Namun, dengan bermulanya era enjin empat lejang pada tahun 2002, WCM berhadapan cabaran besar apabila terpaksa terus menggunakan jentera dua lejang disebabkan bekalan terhad enjin M1 baharu dari Yamaha.

Selepas Red Bull meninggalkan pasukan untuk menyertai KTM pada akhir musim 2002, WCM cuba membangunkan prototaip enjin empat lejang sendiri berdasarkan enjin R1 yang diubah suai dengan casis binaan Harris. Bagaimanapun, isu politik antara MotoGP dan WorldSBK, serta kegagalan projek motosikal berkuasa V6 yang disokong oleh Blata, menyebabkan pasukan itu tidak menyertai kejuaraan dunia pada tahun 2006.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related