Valentino Rossi dan Marc Marquez merupakan pelumba terbaik dalam sejarah perlumbaan MotoGP, itu apa yang dikatakan Juara Dunia MotoGP 2024 Jorge Martin Almoguera.
Kenyataan itu dikeluarkan pelumba Sepanyol itu ketika mengulas mengenai kedudukan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo) dalam senarai pelumba terbaik dalam sejarah dengan menyatakan pelumba Itali itu ketika ini masih belum memasuki senarai tersebut.
Namun, Pelumba berusia 26 tahun yang mencipta sejarah selaku pelumba dari pasukan persendirian (satelit) yang memenangi kejuaraan dunia musim lalu mengungkapkan Bagnaia sudah hampir memasuki senarai itu dengan prestasi dan perlumbaan yang dipamerkannya sepanjang musim.
“Saya rasa Marquez adalah yang terbaik dalam sejarah bersama Valentino dan Pecco kini mula menyertai kumpulan itu. Dengan keputusan yang dicapainya, bagi saya, dia sudah melepasi Casey Stoner, sebagai contoh.
“Dan saya menewaskan Pecco, jadi di mana itu meletakkan saya? Saya tidak bermaksud untuk bermegah ataupun riak. Saya berpijak di bumi nyata, saya tahu masih banyak yang perlu saya capai. Tetapi jelas saya menganggap diri saya berada pada tahap yang sama dengannya dari segi sukan.
Dalam masa yang sama, Martin turut menyatakan hasratnya untuk berlumba bersama pelumba-pelumba terbaik seperti Valentino Rossi namun beliau menyedari saingan sengit pada musim kini yang harus diberikan tumpuan.
“Sudah tentu, saya ingin bertarung untuk gelaran menentang pelumba terbaik dan melawan Valentino Rossi, Marc Marquez yang masih di litar atau melawan Stoner dan ramai pelumba lain yang saya tonton di rumah semasa saya kecil.
“Tetapi pada akhirnya, semuanya mengikut masa terkini dan era baharu. Kini ada Pecco dan Marquez, dan mereka inilah yang perlu saya kalahkan. Saya rasa dalam era kita sekarang, tahap mereka dikira amat tinggi dan nilai untuk merangkul gelaran amat sukar dan akan diberikan penghormatan,” katanya kepada Crash.net
Martin dan Bagnaia merupakan musuh tradisi di atas litar selepas bersaing sengit semenjak dua musim lalu, Martin yang berjaya merampas trofi Juara Dunia itu pada musim 2024 walaupun hanya memenangi tiga perlumbaan berbanding 11 kemenangan yang diperoleh Bagnaia jelas mampu mencipta kejutan untuk musim ini.
Musim ini, Martin jelas bersedia untuk mengekalkan gelaran juara dunianya bersama pasukan baru yang disertai iaitu Aprilia. Beliau berhasrat mampu memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pelumba paling konsisten dan berbakat.
Konsistensi Martin atau lebih dikenali dengan gelaran Martinator merupakan antara tumpuan di atas litar menjelang musim baru dengan hasrat orang ramai yang menjangkakan Juara Dunia musim lalu ini bakal mencipta kejutan bersama Aprilia.