Aksi sesi kelayakan MotoGP Q2 di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan detik penuh dramatik apabila juara dunia dua kali, Francesco “Pecco” Bagnaia, bangkit dengan persembahan luar biasa untuk mencatat masa terpantas 1 minit 57.001 saat, sekaligus kembali ke landasan terbaik selepas bermula perlahan pada sesi latihan Jumaat.
Bagnaia yang terpaksa berentap dalam kelayakan Q1 selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok teratas sesi latihan, tampil dengan semangat baharu. Beliau bukan sahaja berjaya mara ke Q2, malah mempamerkan aksi penuh keyakinan di penghujung sesi apabila mencatat pusingan terpantas dengan baki tiga minit terakhir, menewaskan beberapa pencabar utama dengan kecekapan dan ketenangan di bawah tekanan.
Nasib berbeza menimpa Pedro Acosta, yang turut menghadapi sesi mencabar apabila terjatuh di selekoh berbaki dua minit sebelum tamat, menafikan peluangnya untuk memperbaiki catatan masa. Sementara itu, Alex Marquez muncul antara pesaing terdekat apabila menamatkan sesi di tempat kedua, hanya 0.016 saat di belakang Bagnaia, manakala Franco Morbidelli pula mencatat masa ketiga terpantas, ketinggalan 0.158 saat di belakang rakan senegaranya itu.
Dengan catatan tersebut, Bagnaia bukan sahaja menebus kegagalan awal, malah berjaya memperbaharui rekod peribadinya 1minit 58.123s di Sepang yang dicatat musim lalu kali ini lebih pantas dengan perbezaan hampir satu saat, menegaskan statusnya sebagai antara pelumba paling konsisten dan berbahaya di grid.
Sebelum itu dalam sesi Q1, pelumba muda berbakat besar Fermin Aldeguer mencuri perhatian apabila mencatat masa terpantas 1 minit 57 saat, hanya 0.042 saat di hadapan Bagnaia, sebelum terlibat dalam kemalangan kecil menjelang penghujung sesi.
Namun, insiden itu langsung tidak menjejaskan momentum dan keyakinannya. Sebaliknya, Aldeguer bangkit dengan persembahan mantap di sesi Q2, apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik dengan catatan 1’57.439s, hanya 0.438 saat di belakang juara dunia 2023, Bagnaia satu pencapaian yang jelas membuktikan kematangannya semakin menyerlah di pentas MotoGP.
Berikut merupakan keputusan serta kedudukan di grid bagi aksi perlumbaan Tissot Sprint petang ini dan MotoGP esok:


