Juara Dunia 2023, Pecco Bagnaia, meluahkan rasa kecewa atas kegagalannya mempertahankan gelaran juara dunia, menyebabkan beliau kembali menyarung nombor 63 bagi musim MotoGP 2025.
Namun, pelumba Itali itu menegaskan bahawa kekalahan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya. Sebaliknya, ia menjadi motivasi untuk bangkit lebih kuat dengan aksi yang lebih mengagumkan musim ini.
“Ia adalah musim kelima saya bersama Ducati, dan kami telah membuktikan keupayaan kami sebagai satu pasukan yang kukuh. Saya akan kembali ke litar dengan nombor 63 setelah gagal mempertahankan gelaran juara dunia.
“Meskipun telah berjaya mencapai pelbagai rekod, musim lalu memberi saya banyak pengajaran. Saya berusaha memperbaiki kesilapan dan tampil lebih baik. Dalam sesi ujian di Barcelona selepas GP terakhir, saya menerima maklum balas positif tentang perkembangan jentera kami.
“Saya dan pasukan komited untuk kembali dengan aksi yang lebih agresif dan menarik. Kami telah melakukan pelbagai penambahbaikan pada jentera kami untuk membawanya ke tahap prestasi yang lebih baik. Saya bertekad untuk memanfaatkan segala persiapan ini sepenuhnya dan memulakan musim dengan semangat yang sama seperti sebelum ini,” kata Bagnaia dengan penuh keyakinan ketika majlis pelancaran.

Sementara itu, rakan sepasukannya yang juga merupakan pelumba baharu Ducati, Marc Marquez, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Beliau menganggap ini adalah peluang besar untuk mengukir pencapaian baharu bersama pasukan terbaik di litar.
“Saya sangat gembira dapat menyarung pakaian rasmi Ducati. Berada di Madonna di Campiglio untuk pelancaran musim baharu MotoGP bersama Ducati adalah pengalaman yang luar biasa, menandakan permulaan baru yang penting dalam karier saya.
“Walaupun ketika musim sejuk saya meluangkan masa untuk berehat, saya juga tidak terlupa untuk melatih diri dengan lebih gigih. Saya amat tidak sabar untuk memulakan perlumbaan musim ini bersama pasukan baharu.

“Dengan sesi ujian di Montmelo tahun lalu serta ujian shakedown di Sepang dan Buriram yang bakal berlangsung tidak lama lagi, matlamat utama saya adalah menikmati setiap detik perlumbaan dan menyesuaikan diri dengan jentera ini.
“Seperti yang saya selalu katakan, berada dalam pasukan rasmi bermaksud matlamatnya adalah bersaing untuk podium dan kemenangan, selain menjadi protagonis dalam kejuaraan dunia. Saya yakin pasukan Ducati akan memberikan saya peluang terbaik untuk mencapai impian ini,” ujar Marquez yang akan terus menggunakan nombor 93 pada musim baharu ini.
Pasukan Ducati Lenovo dipercayai sedang dalam persediaan rapi bagi memulakan musim baharu dengan ujian rasmi pertama yang dijadualkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 hingga 7 Februari, manakala sesi ujian shakedown akan berlangsung lebih awal, dari 31 Januari hingga 2 Februari.
Dengan gandingan mantap Pecco Bagnaia dan Marc Marquez, Ducati bersedia mencipta sejarah baharu dalam MotoGP musim 2025.


