Pertarungan yang luar biasa dipaparkan dua pelumba yang mendahului carta Kejuaraan Dunia MotoGP di aksi Grand Prix Malaysia 2024 mendapat perhatian bekas Pengulas MotoGP, Nick Harris yang menganggap aksi memukau mereka sebagai satu perlumbaan ‘tidak masuk akal’.
Pengulas berusia 74 tahun itu terkesima dengan aksi yang dipamerkan pelumba Ducati Lenovo, Pecco Bagnaia dan Pelumba Prima Pramac, Jorge Martin di atas Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) tempoh hari dengan mengungkapkan perlumbaan di Barcelona bakal menjadi pertarungan yang sengit dan tidak mudah.
“Bagnaia dan Martin memulakan aksi empat pusingan pembukaan dengan begitu menakjubkan, melampaui akal fikiran. Saya tidak pernah menyaksikan pertarungan yang begitu sengit antara dua pelumba dengan begitu banyak yang hendak dipertaruhkan.
“Saya boleh melihat mereka benar-benar meletakkan segala-galanya di garis hadapan. Mereka seolah tidak peduli akan akibat mahupun kesilapan dan kemalangan yang akan menimpa mereka. Menurut saya, ini adalah sukan permotoran Kejuaraan Dunia pada tahap tertinggi. Di garisan penamat di Parc Ferme pun,tiada pertikaian atau tuduhan yang berlaku. Malah, mereka hanya berjabat tangan dan bergurau senda.
“Martin yang ketika ini mempunyai kelebihan 24 mata hanya membawa kepada satu perkara. Jika dia memenangi Tissot Sprint pada hari Sabtu, pelumba Prima Pramac Ducati itu akan dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP 2024. Pelumba Sepanyol itu telah berjaya memenangi tujuh perlumbaan Sprint pada musim ini dan pastinya dia mahu menyelesaikannya secepat mungkin sebelum aksi Grand Prix nanti.
“Bagnaia pula akan berusaha untuk memastikan keputusan akhir ditentukan dalam jarak penuh Grand Prix. Musim ini sahaja dia telah memenangi sepuluh Grand Prix untuk menyertai kelab eksklusif. Dalam sejarah sukan ini selama 75 tahun, hanya Marc Marquez, Valentino Rossi, Casey Stoner, Giacomo Agostini, dan Mick Doohan yang pernah memenangi sepuluh perlumbaan kelas utama dalam satu musim. Namun, itu mungkin tidak mencukupi,” katanya menerusi satu kenyataan MotoGP
Tambahnya lagi, ia adalah satu tugas besar buat Pelumba Itali itu bagi mengejar 24 mata defisit untuk memenangi gelaran MotoGP ketiganya berturut-turut.
Pusingan akhir Kejuaraan Dunia MotoGP 2024 dijadualkan berlangsung di Litar de Barcelona-Catalunya pada 15 hingga 17 November ini yang juga merupakan pertembungan terakhir antara kedua-dua pelumba dalam memastikan trofi juara dunia dalam genggaman mereka.